KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) enggan memberikan respon berhubung pertemuan mereka dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Hilton hari ini.
Mereka masing-masing lebih selesa mengunci mulut daripada mengulas intipati pertemuan itu meskipun diasak pelbagai soalan daripada pihak media.
Pertemuan pada hari ini berlangsung menerusi dua sesi dengan yang pertama merupakan mesyuarat pra-parlimen dan pada sebelah petang perjumpaan dengan ketua-ketua whip kerajaan.
Beberapa ahli Parlimen kerajaan yang beredar selepas pertemuan itu hanya melemparkan senyuman kepada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan berhubung pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditemui memberitahu, pertemuan yang diadakan pada hari ini adalah perkara biasa sehari sebelum Parlimen bersidang.
“Mesyuarat semacam ini biasa bagi kami sebelum sidang Parlimen bermula. Ia memang diamalkan sejak dulu lagi dan adalah beberapa perkara dibincangkan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba seawal pukul 12.20 tengahari untuk dan kemudian disusuli beberapa ahli Parlimen kerajaan termasuk ketua-ketua whip.
Sebelum itu beberapa pemimpin parti seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba lebih awal.
Ia kemudiannya diikuti dengan kehadiran Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffry Kitingan; Presiden PBRS, Datuk Seri Panglima Joseph Kurup; Presiden SAPP, Datuk seri Panglima Yong Teck Lee dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.