Oleh OTHMAN YAHAYA
SUNGAI PETANI: Penduduk Kampung Pinang Luar yang tinggal di tebing Sungai Lalang di sini gempar dengan kemunculan tiga ekor buaya di kawasan kediaman mereka sejak Ahad lalu.
Reptilia itu yang berukuran kira-kira tiga meter panjang dilihat berenang di sungai berkenaan, selain menjadikan beberapa tempat di tebing sungai dan bawah jambatan untuk berjemur.
Penduduk, Mukhtar Jasin, 57, berkata, dia sempat merakam video kemunculan seekor buaya dipermukaan air pada pukul 12 tengah hari Ahad lalu.
“Ketika itu saya sedang membersih semak samun di belakang rumah, saya terkejut terdengar pekikan monyet sambil bertempiaran lari ke dalam hutan.
“Beberapa minit kemudian seekor buaya muncul dan berenang di permukaan air berdekatan rumah saya sebelum dikesan berjemur di bawah jambatan berdekatan,” katanya.
Peniaga kedai makan yang tinggal di kampung sama, Abu Bakar Mustaffa, 47, berkata, dia turut melihat buaya berkenaan yang sering berjemur di tebing sungai itu.
“Reptilia itu dilihat berjemur di tebing berdekatan jambatan bersebelahan kedai makan saya kira-kira 20 minit.
“Buaya itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi dan tidak bertindak agresif walaupun menyedari kehadiran penduduk kampung sebelum memasuki semula ke dalam sungai,” katanya.
Suraya Darus,46, berkata, sebagai penduduk asal kampung itu, dia pernah diberitahu arwah bapanya sungai itu memang menjadi tempat tinggal beberapa ekor buaya.
“Arwah ayah saya sering memaklumkan terserempak beberapa ekor buaya berjemur dan berenang di dalam sungai berkedalaman lebih empat meter itu,” katanya.
Sungai Lalang itu itu juga menjadi laluan nelayan Kampung Pinang Luar untuk ke Sungai Batu, Semeling dan Pantai Merdeka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelindungan Haiwan dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim memberitahu, sungai tersebut dikenal pasti antara sungai yang mempunyai beberapa ekor buaya sejak beberapa tahun lalu.
“Pihak Perhilitan sering melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dan tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan mungkin keluar dari kawasan habitat asal selepas tebing sungai itu dibersihkan oleh JPS baru-baru ini.
“Penduduk di kawasan berkenaan diminta berhati hati termasuk tidak mengganggu reptilia itu, selain menghindari berada berdekatan tebing sungai berkenaan terutamanya ketika air pasang,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.