Bernama
Penutupan
sempadan Malaysia-Singapura bermula sejak 18 Mac lepas apabila kerajaan
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Bernama
PONTIAN:
Kerajaan negeri Johor mengakui peningkatan kes COVID-19 di negara ini
sejak kebelakangan ini telah menyebabkan usaha untuk membuka semula
sempadan Malaysia dan Singapura tertangguh.
Menteri
Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata peningkatan kes itu juga
melibatkan beberapa daerah serta petugas agensi kerajaan dan syarikat
berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang turut menjalani proses kuarantin.
"Kita
memang berhajat untuk membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi
Johor bergantung kepada negara jiran melalui peluang pekerjaan dan
ekonomi rentas sempadan, itu kelebihan Johor.
"Tetapi
apabila meningkatnya kes COVID-19, tertangguhlah usaha kita untuk
membuka sempadan itu," katanya ketika berucap pada Program Mesyuarat
Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri
Pinang di sini, pada Jumaat.
Bagaimanapun,
pihaknya tetap berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana bersetuju
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara
bersasar di negeri ini dan bukannya secara menyeluruh, kata beliau.
Sehingga semalam, sebanyak 1,209 kes positif COVID-19 dilaporkan di Johor dengan 60 daripadanya merupakan kes baharu.
Penutupan
sempadan Malaysia-Singapura pula bermula sejak 18 Mac lepas apabila
kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang
penularan jangkitan COVID-19.
Langkah itu
menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura
terjejas kerana tidak dapat berulang-alik secara harian melalui Tambak
Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Sementara
itu, Hasni memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat
Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan
menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan akibat penutupan sempadan.
"Pada
peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan
untuk diagihkan kepada individu yang benar-benar terkesan.
"Inisiatif
ini adalah bagi meringankan beban mereka dan juga merupakan satu bentuk
penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja untuk menyara kehidupan
keluarga," katanya.
Ketika membentangkan
Belanjawan Johor 2021 semalam, Hasni berkata bakul makanan itu akan
dihantar melalui badan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers
bersama-sama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan
Persatuan Malaysia-Singapura.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.