Ahad, 1 November 2020

Panik punca terdedah penipuan Macau Scam .

Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini. Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan yang ditanggung mangsa ada kalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan.

Secara umumnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkategorikan jenayah penipuan kewangan dalam talian kepada lima jenis, penipuan atau pinjaman tidak wujud; e-dagang; Macau Scam; Love Scam dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS). Penipuan ini juga tidak mengenal mangsa sama ada individu profesional, kelas menengah mahupun warga tua.

Ketika negara dilanda musibah COVID-19, operasi penipuan sebegini tetap berlaku. Menurut laporan pihak berkuasa, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 4 Ogos lalu, jenayah e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 2,500 kes dengan kerugian dicatatkan RM17 juta.

Ini diikuti dengan 1,582 kes pinjaman tidak wujud dengan kerugian RM18 juta; Macau Scam (1,001 kes, kerugian RM50 juta); Love Scam (481 kes, kerugian RM18 juta) dan tipu SMS (91 kes, kerugian RM800,000).

Walaupun jenayah e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi, dari segi kerugian, didapati jenayah Macau Scam yang mencatatkan jumlah paling tinggi, iaitu RM50 juta. Taktik penipuan digunakan, termasuk membuat panggilan dengan menyamar anggota penguat kuasa atau penjawat awam agensi tertentu, memperdaya untuk mendapatkan data peribadi dan mengguna atau mewujudkan laman sesawang palsu.

Ketika menghadapi situasi penularan COVID-19 misalnya, ramai dalam kalangan masyarakat terjejas akibat tidak dapat bekerja dan hilang sumber pendapatan. Oleh itu, kerajaan memperuntukkan bantuan khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Malangnya, ada pihak tertentu menghantar SMS berhubung kait dengan bantuan ini dengan meminta maklumat peribadi penerima bantuan. Akhirnya penerima tadi mungkin menjadi mangsa jenayah dalam talian ini.

Taktik keji penipuan kewangan menyebabkan mangsa berasa cemas, panik dan mungkin takut, khususnya warga tua. Akhirnya mangsa mengambil tindakan terburu-buru dan menanggung kerugian besar.

Kejinya penipuan kewangan ini kerana ada kes menyebabkan mangsa hilang simpanan sepanjang hayat, membuat hutang secara maksimum yang tidak perlu atau hilang maruah diri.

Lebih keji lagi apabila mengetahui pelaku didakwa melakukan kegiatan jenayah berkenaan selama ini mempamerkan gaya hidup terlampau mewah. Sedangkan pada hakikatnya, kekayaan dinikmati dan dibelanja itu bukan hasil titik peluh mereka, sebaliknya ia hasil kerja keras sepanjang hayat mangsa yang ditipu.

Masyarakat sepatutnya mengelakkan diri daripada menjadi sebahagian rangkaian penipuan jenayah kewangan dalam talian ini. Bukan sahaja sebagai ahli kumpulan sindiket, tetapi juga sebagai pekerja yang membuat panggilan penipuan dan pelindung kepada kegiatan penipuan terbabit.

Desakan hidup untuk mencari sumber pendapatan tidak boleh dijadikan alasan kerana ada pelbagai cara lain mencari rezeki halal lagi berkat. Apatah lagi sebenarnya pelaku yang mendalangi kegiatan jenayah kewangan dalam talian ini didasari dengan sifat tamak dan megah dengan kekayaan batil yang dimiliki.

Bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah kewangan dalam talian seperti ini, beberapa tindakan dikenal pasti boleh diambil oleh masyarakat awam. Sebagai contoh, anak dewasa perlu kerap berbicara mengenai taktik penipuan kewangan ini dengan ibu bapa yang sudah berusia, khususnya yang tidak tinggal bersama.

Pesara perlu lebih berhati-hati dengan sebarang kegiatan kewangan dalam talian. Sentiasa waspada terhadap panggilan yang mendakwa dari agensi tertentu dan nasihat untuk tidak berbincang dengan orang lain sebelum melakukan transaksi kewangan besar.

Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku. Begitu juga terhadap mana-mana individu bersekongkol dalam melindungi pelaku jenayah ini, termasuk anggota penguat kuasa atau pihak menjual data peribadi.

Hukuman dikenakan juga seharusnya lebih tegas dan mendatangkan gentar kepada orang lain untuk melakukan jenayah sama. Sesuai dengan perkembangan kegiatan jenayah kewangan semasa yang sentiasa berevolusi. Kita tidak mahu pendigitalan menjadikan kegiatan jenayah kewangan dalam talian semakin mudah.

Pada akhirnya, masyarakat perlu lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan jenayah kewangan ini, tidak mudah panik dengan ugutan, sentiasa mendapat nasihat pihak berwajib berhubung kait dengan transaksi kewangan besar sebelum melakukan tindakan dan saling ingat mengingati antara satu sama lain akan kewujudan jenayah kewangan dalam talian sebegini.

(*) Penulis adalah Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.