PEMBELA cadang 3 cara untuk 'curi' perhatian kerajaan dalam kes ini
BANGI – Kecewa dengan layanan yang diterima kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan tiga cara untuk menarik perhatian kerajaan berhubung isu berkenaan.
Tiga cadangan tersebut sama ada turun ke jalanan, adakan jerayawara atau tunggu sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Naib Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Johari menegaskan, kes ini penting kerana melibatkan kematian penjawat awam yang juga anggota barisan hadapan negara.
Tegasnya lagi, jika perkara seperti ini kerajaan tidak mampu lakukan, bagaimana pula dengan nasib rakyat marhaen.
“Seingat saya, sudah berapa kali bapa kepada arwah Adib ini keluarkan kenyataan untuk meminta kerajaan Malaysia mencari dan menyiasat segera kes pembunuhan arwah Adib.
“Memandangkan kes pembunuhan Adib sudah tidak mendapat perhatian kerajaan Malaysia, kita rasa berhajat nak ‘curi’ perhatian kerajaan Malaysia.
“Bagaimana nak curi perhatian? Sama ada kita turun di jalanan? Sama ada kita roadshow seluruh Malaysia? Atau paling susah sangat, kita tunggu PRU15?,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, keluarga Allahyarham Muhammad Adib berharap siasatan mencari penjenayah yang menyebabkan kematiannya dapat dilakukan segera berikutan sudah terlalu lama menunggu.
Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, beliau masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian arwah.
“Sebelum ini, Mahkamah Koroner sudah putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali, mahkamah itu juga turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan juga menyumbang kematian anak saya.
“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi.
“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.