PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diminta memberikan sumbangan lebih besar serta membantu negara mengharungi cabaran semasa, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau tidak menafikan sumbangan GLC dan GLIC kepada ekonomi negara namun kerajaan memerlukan sokongan lebih besar ketika ini.
“Kerajaan memerlukan sokongan sektor swasta dan GLC serta GLIC.
“Saya rasa GLC dan GLIC kena buat perubahan minda ketika ini kerana berlaku tekanan kepada ekonomi dan rakyat berada dalam kesusahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan melakukan apa yang boleh tetapi GLC dan GLIC perlu membantu menghidupkan semula ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata rundingan sudah dimulakan dengan GLC serta GLIC dan meminta semua pemimpin organisasi itu memberikan maklum balas mengenai bantuan akan diberikan.
“Sekarang adalah masa untuk mereka memimpin dan menunjukkan indeks prestasi utama (KPI) bukan sahaja untuk mencatatkan keuntungan semata-mata.
“Buat masa ini masih dalam peringkat perbincangan untuk mengetahui bagaimana mereka boleh membantu ekonomi dan rakyat kita. Saya rasa ini penting tetapi masih dalam perbincangan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, syarikat yang masih kukuh ketika ini tidak seharusnya melihat dari aspek keuntungan semata-mata tetapi melaksanakan lebih banyak pembangunan ekonomi, pekerjaan dan pelaburan.
Beliau tidak mahu GLC dan GLIC memperlahankan pelaburan mereka apabila melihat keadaan ekonomi semasa.
“Ini tidak boleh berlaku kerana kerajaan sendiri meningkatkan perbelanjaan pembangunan kerana kita mahu kesannya kepada ekonomi.
“GLC perlu membelanjakan lebih banyak perbelanjaan modal atau melabur dengan membina menara contohnya,” katanya.
Tengku Zafrul juga tidak menolak ada pemimpin dalam syarikat berkenaan tidak bersetuju dengan hasrat tersebut tetapi sebenarnya ini adalah masa paling sesuai untuk mereka menunjukkan kemampuan membantu rakyat dan ekonomi.
Katanya, kerajaan tidak akan campur tangan mengenai gaji pegawai eksekutif GLC dan GLIC yang terlalu tinggi tetapi hanya akan memberikan saranan kepada mereka sahaja.
Katanya, untuk berlaku adil, beliau perlu menyatakan ada GLC yang sudah melakukan pemotongan gaji.
“Saya juga tahu ada sesetengah syarikat lain pun buat tetapi mereka tidak buat pengumuman rasmi kerana takut orang tahu mengenai gaji.
“Sektor minyak dan gas juga kena (potong gaji). Saya berharap dari segi pentadbiran, lembaga pengarah yang membuat keputusan, kerajaan tidak boleh kacau. Lembaga pengarah perlu bertindak dengan sewajarnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.