Ahad, 1 November 2020

Ibu tunggal bergelut sara keluarga akibat pandemik

Norafidah Lion bersama anaknya sebelum Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan 
pergerakan.

KOTA KINABALU: Kali terakhir Norafidah Lion bertemu anak lelakinya 3 bulan lalu manakala anak perempuannya pula 5 bulan lalu.

Amat menyakitkan apabila berada jauh daripada mereka, tetapi ibu tunggal berusia 28 tahun berasal dari Kudat, daerah Sabah paling utara itu tiada pilihan kerana dia berusaha mencari pendapatan untuk keluarganya.

Selepas berpisah dengan suami, wanita itu kini keseorangan mengharungi pahit getir membesarkan anaknya yang berusia 9 dan 8 tahun.

Ia bukan perjalanan kehidupan yang sentiasa lancar baginya, terutama ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketika ini.

Anak lelakinya tinggal di Ranau bersama mentuanya manakala anak perempuan pula dijaga kakaknya di Kudat.

Norafidah bekerja dalam industri spa di Kuala Lumpur tahun lalu namun hilang pekerjaann apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Mac. Dia kemudian pulang ke Sabah dan bersatu dengan anaknya buat sementara sebelum ke Penambang yang terletak di pantai barat untuk mengikuti kursus kemahiran baru.

“Saya amat merindui anak-anak dan mereka selalu mencari saya, tetapi apa saya boleh buat? Saya mesti cari kerja untuk mendapatkan wang kerana keadaan ketika ini sangat susah bagi kami,” katanya kepada FMT.

Wanita itu berharap dapat bersama anaknya sepanjang masa, bukan membebankan orang lain terutama keluarga yang turut berdepan kesukaran. Sejak pulang dari Kuala Lumpur dia mencuba pelbagai cara untuk menjana pendapatan, termasuk menjual barangan dalam talian namun bukan semua membuahkan hasil.

Norafidah selesai menjalani kursus estetik tetapi latihan praktikalnya di sebuah syarikat tempatan terhenti susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kerana premis berkenaan ditutup sepanjang tempoh itu.

“Selain itu, saya mengikuti kursus selepas bersalin tetapi ia juga ditangguhkan. Saya betul-betul bergelut bagi mendapatkan wang untuk anak-anak. Jika ada peluang saya akan cuba tetapi saya berdepan banyak halangan seperti perniagaan dalam talian,” katanya.

Walaupun bersyukur dengan sedikit simpanan bagi membolehkannya membeli barang keperluan untuk anak-anak, Norafidah berkata ia habis dengan cepat kerana tidak memperoleh sebarang pendapatan.

“Saya juga bersyukur atas Bantuan Prihatin Nasional kerajaan tetapi ia tidak bertahan lama kerana saya mempunyai banyak komitmen,” katanya memaklumkan wang diberikan bekas suami hanya digunakan untuk pendidikan anaknya.

“Sebab itu saya berharap pelaksanaan perintah pergerakan dan wabak ini berakhir secepat mungkin kerana keadaan ketika ini ia amat susah.”

Seorang lagi ibu tunggal, Chin Yean Lin menyuarakan kebimbangan sama selepas diberhentikan daripada pekerjaannya sebagai tukang cuci di sebuah hotel sejak Jun lalu.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, dia mempunyai 4 anak berusia antara 10 hingga 15 tahun tetapi dengan tiada pekerjaan dan pendapatan stabil, kehidupannya semakin sukar.

Semua 5 anggota keluarga itu tinggal di Tuaran dan hanya bergantung kepada bantuan kebajikan, yang merupakan bayaran tahunan dan bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,000. Mereka tinggal di sebuah unit rumah pangsa dengan ibu Chin yang menghidap darah tinggi dan 2 kakaknya.

Dengan begitu ramai tanggungan untuk dijaga dan banyak bil perlu dibayar, Chin yang turut mengikuti kursus selepas bersalin berkata, dia kehabisan ikhtiar bagaimana hendak menjaga keluarga.

“Saya bingung untuk mencari pekerjaan dalam keadaan PKPB sekarang ini, tiada banyak peluang di luar sana.

“Saya benar-benar tertekan memikirkan perkara ini, nampak seolah-olah perintah pergerakan akan berterusan kerana tiada sebarang tanda menunjukkan wabak ini akan reda di Sabah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.