Alhamdulillah atas segalanya. Izinkan saya melalui hantaran kali ini memuji dan memberi penghargaan kepada YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Ust Dr. Khairuddin at-Takiri.
Saya
tahu beliau pernah terpalit dengan isu kekhilafan SOP sekembali
daripada tugasan ke luar negara beberapa bulan yang sudah. Namun, saya
rasa tidak keterlaluan jika saya katakan beliau antara Menteri yang
mencapai KPI dan menjalankan tugasan dalam portfolio yang diamanahkan
dengan cemerlang.
Jika ingin dibandingkan dengan mantan Menteri YB Teresa Kok bagaikan langit dengan bumi!
Pergilah
ke mana sahaja hari ini majoriti pekebun kecil khususnya yang terlibat
dengan komoditi sawit sangat gembira dengan harga minyak sawit mentah
(CPO) dan buah tandan segar (FFB) yang berada pada harga antara
tertinggi sejak 10 tahun. Bahkan pencapaian pensijilan MSPO juga sangat
memberansangkan. Senyuman peneroka FELDA, FELCRA, SALCRA dan
pekebun-pekebun kecil tentunya kegembiraan kita bersama! Malah semua
syarikat perladangan kelapa sawit mencatatkan keuntungan!
Bagi
getah, inisiatif bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sedikit
sebanyak membantu pekebun getah mengekalkan pendapatan. Pengumuman
Koridor Latex Negara juga satu lagi inisiatif untuk mengembangkan
industri getah negara. Bahkan sepanjang pandemik COVID-19, syarikat
seperti Top Glove, Hartalega dan syarikat-syarikat yang terlibat dengan
industri hiliran getah (pembuatan sarung tangan dll) mengaut keuntungan
berlipat kali ganda!
Demikian juga dengan komoditi yang lain
iaitu kayu-kayan, koko, lada hitam dan kenaf. Pelbagai inisiatif
Kementerian telah dan sedang berjalan. Bagi kayu-kayan contohnya, dalam #Belanjawan2021
terdapat 2 perkara yang memberi berita gembira kepada pemain industri
komoditi kayu-kayan iaitu pembukaan kawasan perindustrian perabot di
Pagoh dan penyediaan dana pusingan berjumlah RM500 juta bagi program
Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan.
Tahniah YB Menteri atas pencapaian 9 bulan kini!
Kembali
kepada tajuk hantaran kali ini iaitu tentang memuji dan memberi
penghargaan. Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)
di dalam bukunya berjudul ‘Peribadi’ menukilkan:
“Meskipun dalam
ajaran agama disebutkan bahawa kita tidak boleh suka dipuji, namun
manusia jarang benar yang tidak suka dipuji! Kalau memuji itu terpandang
tidak bagus, bagaimana hal menghargai?
Satu saat kemegahan luar
biasa bagi seorang penulis ialah bilamana ada seseorang mengatakan
kepadanya bahawa bukunya yang baru telah dibacanya dan amat menarik
hatinya. Saya mengaku terus-terang, bahawa itulah salah satu kelemahan
kami kaum pengarang. Tegasnya kelemahan saya! Demikian jugalah halnya
dalam segala lapangan!”
Sungguh benar buah fikir dan pandangan
Prof. Dr. HAMKA dalam hal memuji dan memberi penghargaan. Wallahi, ini
adalah realiti kehidupan! Sekiranya beliau merasakannya selaku
pengarang, saya selaku CEO dan sebelumnya jurutera juga tidak dapat lari
dari ‘penyakit’ dan ‘virus’ ini bila dipuji.
Saya sendiri amat
merasai hakikat betapa ‘manusia jarang benar yang tidak suka dipuji’
dalam banyak keadaan. Contohnya apabila kita mendapat kenaikan pangkat
atau berjaya menyiapkan projek dan tugasan dengan baik, pastinya pujian,
ucapan tahniah dan penghargaan daripada boss dan teman sekerja
menjentik naluri si hati kecil sekaligus mencalit rasa bangga,
membesarkan hati dan membungakan jiwa sanubari!
Ini pengakuan jujur! Bahkan ucapan tahniah ketika saya dilantik menjadi CEO Malaysian Timber Council - MTC
baru-baru ini membuat hati sukacita. Malah sering kita mendengar orang
menyebut ‘kembang hidung’ dek kerana responsifnya deria ini bila diri
dipuji dan bagi yang berkulit cerah, kadang-kadang pipi turut memerah
secara spontan semerah berbunganya hati!!
Anda pastinya juga
pernah menerima pujian bukan? Apa perasaan yang menggelora dan
menggelojak di dalam hati kecil kala itu? Pastinya kalian juga merasai
getaran rasa ‘megah’ seperti yang saya dan Prof. Dr. HAMKA rasakan
bukan? Benar bukan? Ya? Terima kasih… Saya dapat merasakan dan yakin
anda mengiayakannya!
Bahkan, saya percaya ini merupakan lumrah
selagi kita adalah makhluk Tuhan yang bernama manusia! Inilah romantika
yang mewarnai kehidupan insan di dunia.
Atas segalanya, ingatlah
selalu wahai sekalian insan sama ada sebagai pendakwah, ahli politik,
pekerja dalam bidang apa bidang sekalipun serta dalam apa jua kerja yang
kita lakukan bahawa Allah SWT itulah matlamat akhir segala aktivisma
kita. Semoga kita semua sentiasa bekerja amat ikhlas dan
bersungguh-sungguh di dalam menjalankan amanah profesyen dan
tanggungjawab kita.
Buku “God is My CEO” karangan Larry Julian
amat relevan untuk difikir-renungkan dan dijadikan ‘vision statement’
kepada seluruh pekerja. Meskipun buku itu adalah dari perspektif seorang
Non-Muslim, namun sebenarnya ia boleh diadaptasikan di dalam kehidupan
kita sebagai seorang Muslim dengan berprinsipkan “Allah SWT Adalah
Segala-galanya!”.
Intipatinya ialah supaya kita melihat betapa
pentingnya konsep ihsan, ikhlas, telus dan tulus dalam ber’amal
semata-mata kerana Allah SWT ya’ni dengan menjadikan Allah SWT sebagai
‘Supreme Boss’ di dalam segala ibadah, kerja, ikhtiar, usaha, amalan,
aktiviti dan apa jua agenda.
Dengan ini kita tidak akan lagi
ber’amal kerana ingin pujian manusia, to impress the superiors, mahu
dikata hebat, atau habuan-habuan keduniaan lain. Buat kerja, biar jadi
ibadah! Kita perlu menganjak paradigma dari memikirkan ‘apa orang akan
kata’ kepada ‘apa Allah akan kata’ di dalam melaksanakan tanggungjawab
kita sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
Bukankah
setiap hari kita berjanji kepada Yang Maha Agung: “Sesungguhnya
solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Tuhan Seru
Sekalian Alam”? Lalu, mana buktinya? Justeru ayuhlah, marilah kita semua
bersama-sama memanifestasikan janji setia kita!
Hiduplah demi Yang
Maha Hidup!
Carilah redha Allah..
Kita tidak akan kecewa.
Carilah redha Allah..
Kelak hati akan tenang, hati akan senang.
Carilah redha Allah..
Itulah kunci kepada segala kejayaan!
Semoga kita semua berjaya dunia dan Akhirat. Allahumma Aamiin.
MENGAPA MESTI KAU ‘UJUB?
(Puisi ini ana tujukan khas buat aku..)
Mengapa mesti kau ‘ujub
Riya’ bangga meraja di jiwa
Merasa gah disanjung manusia
Teruja dengan kebolehan dirimu
Terpana dengan pencapaian duniawi
Seolah-olah kaulah hambaNya yang terhebat!
Mengapa mesti kau ‘ujub
Andai ibadahmu masih kurang sempurna
Andai maksiatmu masih terus kau laksana
Andai keinsafanmu tidak seserius mana
Andai dosamu masih menimbun sama
Dan andai taubatmu hanyalah pura-pura!
Mengapa mesti kau ‘ujub
Sedang wajarnya kau syukuri wujudmu
Disertai doa munajat di dalam sujudmu
Semoga ia bukan istidraj tetapi nikmat
Nikmat Ilahi buatmu atas anugerah taat
Sebuah kejayaan yang beroleh berkat!
Mengapa mesti kau ‘ujub
Bukankah hatimu bencikan neraka?
Bukankah hatimu merindukan syurga?
Kalau benar itu impianmu
Maka ketahuilah olehmu..
‘Ujub tiada di dalam hati perindu!
MUHTAR SUHAILI= Shell iCentre, Rijswijk
5 Februari 2007, 10.15am.
Semoga saya mampu menjadi CEO, jurutera/ muhandis, amilin jamaah, pendakwah dan manusia yang tinggi fikir, banyak zikir!”
Doakan
semoga saya dan pasukan mampu menggalas tugasan ini dengan cemerlang.
Semoga tanggungjawab dapat ditunaikan dengan sebaiknya dalam mencari
bekal khidmat untuk dibawa sampai ke Akhirat. Allahumma Aamiin.
Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan!
Lebai Engineer Turned CEO;
Muhtar Suhaili As-Sarawaki,
(مختار/穆赫塔尔/முக்தர்)
Yang Ingin Bahagia Dunia & Akhirat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.