Rabu, 25 November 2020

Baik tunda undi bajet dari biar pengembara dari Sabah tak kuarantin

MGF18092020_NAJIB-PROGRAM-BOSKUU13
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk memberi penjelasan berhubung keputusan tidak lagi mewajibkan kuarantin terhadap pengembara yang tiba dari Sabah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menzahirkan kebimbangannya dengan keputusan tersebut kerana data-data menunjukkan kes Covid-19 di Sabah masih belum pulih meskipun mengalami trend penurunan sejak seminggu lalu.

Beliau berharap keputusan tersebut bukan dibuat atas sebab politik.

Tegasnya, sekiranya keputusan tersebut dibuat hanya untuk membolehkan ahli-ahli Parlimen yang masih berada di Sabah dapat hadir untuk mengundi Belanjawan 2021 pada Khamis ini, beliau rela jika hari mengundi tersebut ditundakan.

“Saya bersangka baik bahawa perubahan syarat hari ini adalah berasas dan tidak ada kena-mengena dengan kepentingan politik memandangkan ada ahli-ahli parlimen yang masih berada di Sabah yang mungkin dihalang untuk mengundi bagi bajet 2021.

“Jika ianya benar, saya lebih rela hari mengundi bagi bajet 2021 ditunda.

“Bagi saya, Malaysia tidak mampu lagi dijejaskan hanya kerana kepentingan politik dan kita tidak boleh mengulangi kesilapan-kesilapan dahulu di mana MKN tertunduk kepada kehendak BERSIH dan Teresa Kok dan membuat keputusan bahawa mereka yang pulang dari Sabah sebelum hari mengundi PRN Sabah tidak perlu disaring atau dikuarantin.

“Akibatnya, gelombang ketiga tercetus di seluruh negara sehingga hari ini.

“Setiap keputusan yang melibatkan kesihatan rakyat dan ekonomi negara perlu berpandu pada sains – bukan berdasarkan kepentingan politik.

“Saya amat harap Kementerian Kesihatan akan menjelaskan keputusan hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Jelas Najib, meskipun kes-kes baharu di Sabah menunjukkan penurunan sejak lima hari lalu namun kes yang dikesan hasil “saringan lain-lain” masih tinggi berbanding negeri-negeri lain termasuk Selangor.

Hasil saringan lain-lain merujuk kepada kes positif Covid-19 yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster yang telah dikenal pasti.

“Pada saya “lain-lain saringan” ini yang paling bahaya kerana ia adalah kes yang tidak berkait dengan mana-mana kluster yang sudah dikenal pasti dan setiap kes dari kategori “lain-lain saringan” mampu melahirkan sebuah kluster baharu.

Biasanya ianya terdiri dari saringan begejala di mana orang yang sakit setelah dijangkit meminta rawatan.

“Ianya bukan hasil dari pengesanan secara aktif bagi kluster sedia ada atau untuk kontak hubungan rapat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Pengembara dari Sabah hanya perlu lakukan ujian swab – Adham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.