Hutan simpan Ulu Sat seluas 14,710 hektar antara kerap diceroboh
KOTA BHARU – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bermula pada Mac lalu, ternyata tidak menghalang pembalak haram untuk menceroboh kawasan hutan simpan kekal (HSK) di Kelantan.
Pengarah Jabatan Perhutan negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya telah mengesan sebanyak 23 kes pencerobohan HSK terutamanya di Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.
Beliau berkata, HSK di Ulu Sat, Machang seluas 14,710 hektar adalah kawasan yang kerap diceroboh pembalak haram kerana di situ dikatakan mempunyai lebih 1,000 spesis kayu bermutu tinggi seperti Balau, Balau Merah, Chengal dan Merbau yang boleh mencapai harga RM1,500 satu meter padu.
“Pencerobohan yang dilakukan bagi mendapatkan kayu bermutu tinggi, dilakukan sebilangan pembalak secara kecil-kecilan dan biasanya kumpulan ini didalangi penduduk tempatan dan warga asing yang mempunyai kemahiran membelah kayu.
“Walaupun PKP didapati tidak menakutkan penceroboh tersebut, namun dengan tindakan pantas penguatkuasa sejak Mac, seramai 13 individu termasuk sembilan warga asing dari Thailand dan Myanmar berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah Khalim berkata, sepanjang PKP pihaknya masih meneruskan pemantauan dan penugasan selain masih terus menerima maklumat daripada orang ramai.
Jelasnya, dalam tempoh tiga hari lalu tiga kes telahpun dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman selain merampas pelbagai jenis kayu, mesin dan kenderaan daripada pembalak haram, bernilai lebih RM40,000. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.