Sabtu, 3 Oktober 2020

Timbalan menteri positif Covid-19

 MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan.

Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai kanan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Ya positif Covid-19, dan perkara itu disahkan oleh (Setiausaha Kerja Umno) Sumali Reduan kepada media.

"Juga segala program membabitkan dia (Masrizal) di kementeriannya kini ditangguhkan," katanya kepada Malaysiakini.

Masrizal adalah senator yang dilantik memegang jawatan timbalan menteri yang juga bekas setiausaha politik kepada Zahid.

Bagaimanapun tidak dapat disahkan bagaimana Masrizal dijangkit wabak berkenaan.

Malaysia pada masa ini berdepan gelombang kedua penularan wabak Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung.

Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Razlan Rafii dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan antara pemimpin Umno yang positif Covid-19 ketika berkempen di PRN Sabah.

Sementara itu, Malaysiakini turut mendapatkan pengesahan dengan sumber kementerian berkenaan berhubung program membabitkan Masrizal.

Sumber kementerian itu mengesahkan beberapa program Masrizal yang dijadualkan minggu ini dan minggu depan ditangguhkan.

"Ada beberapa program yang telah dirancang membabitkan timbalan menteri terpaksa ditangguhkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.