Khamis, 1 Oktober 2020

Rugi RM15,000 'dibadai' ribut

Norzamira Che Noh

Keadaan restoran ikan bakar selepas dilanda ribut awal pagi semalam di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Pelabuhan Klang: Pengusaha sebuah restoran ikan bakar di Tanjung Harapan di sini, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas restorannya dilanda ribut awal pagi semalam.

Pengusaha restoran, Mohd Shukri Abdul Talib, 31, berkata, kejadian itu berlaku secara mendadak dan ia adalah kejadian pertama sepanjang tempoh 30 tahun restoran itu beroperasi.

"Kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi. Ketika itu saya berada di dalam bilik yang terletak di dalam restoran.

"Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi deruan angin kuat seperti guruh diikuti hujan.

"Keadaan itu berlangsung hampir setengah jam. Apabila keadaan tenang, saya keluar dari bilik dan melihat bumbung restoran tertanggal dan sebahagian binaan restoran roboh," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, perniagaan restoran itu dimulakan oleh ibu bapanya 30 tahun lalu dan menurutnya ia adalah kejadian kali pertama sepanjang restoran itu beroperasi.

Katanya, insiden angin kuat adalah perkara biasa terutamanya apabila berlaku air pasang besar bagaimanapun ia tidak pernah menyebabkan kerosakan teruk.

"Saya belum memanggil kontraktor untuk melakukan baik pulih. Bagaimanapun saya menganggarkan kerugian dialami adalah kira-kira RM15,000," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.