Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM: Kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu Proton Holdings Bhd., Proton X50 menerima sambutan hangat selepas pelancaran rasminya kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia di Proton 4S Lon G Puncak Sdn. Bhd. di Bandar Puncak Alam di sini, mendapati pelanggan memenuhi pusat pameran itu untuk melihat dan memandu uji kenderaan berkapasiti enjin 1.5 turbo tersebut.
Menurut Sharen Hashim, 51, dia sememangnya amat menantikan SUV itu selepas turut membeli Proton X70 dua bulan lalu.
“Saya adalah peminat setia Proton terutama model baharu yang dilihat amat menepati citarasa eksklusif pengguna tempatan.
“Bagi model X50, saya memilih Flagship kerana meliputi spesifikasi auto parking dan ruang dalaman yang lebih canggih dan elegen,” kata bapa kepada tiga anak dari Seri Kembangan itu kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Kuala Lumpur, Rosdiana Mohd. Rasid, 31, harga SUV itu dianggap amat berpatutan jika dibandingkan dengan kenderaan jenama lain.
“Selain reka bentuk menarik dan spesifikasi berteknologi tinggi, pilihan warna yang disediakan turut bertepatan dengan kehendak pengguna. Melihat kepada harga yang ditawarkan, saya rasakan berbaloi untuk dibeli sekali gus turut menyokong produk buatan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Proton 4S Lon G Puncak, Muhidzir Ali berkata, pusat Proton terbesar di negara ini, itu telah menerima tempahan 200 Proton X50 setakat ini. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.