Isnin, 26 Oktober 2020

Patuh titah Agong, jangan ada usul undi tak percaya PM

Athirah Huda Zalhe

 Jangan sibuk berpolitik lagi, tumpu usaha pulihkan negara: ISMA

BANGI – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas meminta semua ahli politik berhenti menganggu gugat kerajaan sedia ada – dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri atau apa-apa langkah lain yang boleh menggugat kedudukan kerajaan sekarang mesti dihentikan demi mematuhi titah Seri Paduka, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Haji Aminuddin menyifatkan Al-Sultan Abdullah sekali lagi menunjukkan kewibawaan baginda yang kekal tenang dan berunding bersama Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan berkait cadangan kerajaan.

“Inilah buktinya YDPA mempunyai kuasa yang penuh dalam membuat keputusan walaupun dinasihati oleh Perdana Menteri untuk melakukan sebaliknya.

“Dengan kata lain, YDPA tidak semestinya mengikuti nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan hanya undi tidak percaya, sebarang kemungkinan atau tindakan yang menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan juga dianggap melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.

“YDPA menegaskan supaya Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat jelata.

“Berkemungkinan juga baginda akan membuat keputusan atau tindakan khas sekiranya Belanjawan 2021 tidak berjaya diluluskan di Parlimen nanti,” katanya.

Semalam, selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat di negara ini. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang menganggu kestabilan pemerintahan negara.

Menerusi titah baginda, Haji Aminuddin berkata, kerajaan tidak sepatutnya rungsing untuk sibuk berpolitik bagi kekal berkuasa, sebaliknya menumpukan seluruh tenaga dan fikiran memulihkan negara demi rakyat.

“Seperti ditegaskan juga, keyakinan YDPA kepada kerajaan sedia ada dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi juga tidak harus dipandang mudah oleh kerajaan.

“Maka, kerajaan harus merangka tindakan dan strategi yang tuntas dalam membela rakyat dan ini perlu dilakukan segera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.