Sabtu, 3 Oktober 2020

PATI punca kes meningkat, Ops Benteng diperkasa – Ismail Sabri

Norlaile Abd Rahman
MGF22032020_OPS-POLIS-DAN-ATM_06-681x454
Kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI terutamanya melalui lorong-lorong tikus adalah penting bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan mengekang penularan wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan untuk memperkasakan kawalan di Pantai Timur Sabah melalui Operasi Benteng (Ops Benteng).

Ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 terutama di Sabah ketika ini disebabkan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI terutamanya melalui lorong-lorong tikus adalah penting bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sidang khas hari ini bersetuju untuk menambah aset dan anggota keselamatan bagi memperkasakan lagi kawalan di Pantai Timur Sabah melalui Operasi Benteng untuk menghalang kemasukan PATI khususnya melalui lorong-lorong tikus.

“Bagi mereka yang ditahan di dalam Ops Benteng sama ada PATI atau yang berdokumen, mereka tetap akan dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

“Keputusan ini dibuat memandangkan kebanyakan kes-kes positif Covid-19 di Sabah adalah  berpunca dari kes import dari negara-negara jiran,” katanya semasa sidang media khas selepas mesyuarat MKN hari ini.

Dalam pada itu, Sidang Khas MKN turut memutuskan waktu operasi bagi Kompleks Bangunan Sultan Iskandar adalah kekal dari jam 7 pagi hingga 7 malam bagi semua kenderaan.

Bagi Kompleks Sultan Abu Bakar atau Linkedua, waktu operasi bagi kenderaan berat adalah 24 jam manakala bagi kenderaan ringan, waktu operasi adalah dari 8 pagi hingga 12 malam.

Ismail Sabri turut memaklumkan, operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan oleh pasukan petugas khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 241 individu kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Daripada jumlah itu, seramai 41 individu telah direman dan dua dijamin polis.

Seramai 198 individu pula telah dikenakan kompaun.

Dalam Ops Benteng pula, seramai 21 PATI, seorang tekong dan dua orang penyeludup telah berjaya ditahan semalam.

Turut dirampas adalah 10 buah kenderaan darat.

Tambahnya, ang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian  011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.