Ahad, 4 Oktober 2020

Netizen tawar bantuan kepada mahasiswa terkandas

Ramai netizen menawarkan bantuan kepada mahasiswa yang terkandas di kampus 
universiti susulan pengumuman tiba-tiba penangguhan pendaftaran secara bersemuka.

PETALING JAYA: Netizen menyuarakan kemarahan mereka di Twitter susulan pengumuman penangguhan pendaftaran secara bersemuka di institusi pengajian tinggi (IPT) secara tiba-tiba oleh kementerian pengajian tinggi yang menyebabkan ramai mahasiswa terkandas.

Di bawah tanda pagar seperti #TolongBantu dan #MenteriKPTSilaLetakJawatan, ramai anggota masyarakat yang prihatin menawarkan tempat penginapan, makanan dan pengangkutan secara percuma kepada mahasiswa.

Amir Abd Hadi, 29, menawarkan tempat penginapan di rumahnya kepada mahasiswa yang terkandas di Lembah Klang.

“Buat masa ini, mana-mana mahasiswa yang terkandas di Lembah Klang yang memerlukan tempat penginapan buat sementara boleh menghubungi saya,” kata beliau dalam satu ciapan.

“Rumah saya kecil, tetapi tidak menjadi masalah buat masa ini sebelum kita menemui penyelesaian lebih baik.”

Bercakap dengan FMT, Amir berkata, beliau tidak boleh berdiam diri sewaktu mahasiswa bersusah payah bertolak ke universiti dan akhirnya terkandas apabila menyedari pendaftaran ditangguhkan.

“Saya pernah menjadi mahasiswa daripada keluarga B40 sebelum ini. Jadi saya memahami betapa susahnya untuk hidup,” kata beliau.

“Buat masa ini, kami hanya dapat menyediakan duit poket untuk membeli makanan dan tiket bas kepada 500 mahasiswa. Terdapat ribuan mesej dan ia (mesej) tidak berhenti.”

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi memberi pampasan kepada mahasiswa tersebut bagi kos yang ditanggung kembali ke kampus, selain mengurangkan yuran pengajaran universiti awam.

Amir tidak keseorangan kerana ramai menawarkan bantuan melalui media sosial kepada mereka yang terkandas di kampus, jauh dari rumah mereka.

Pengguna lain dengan nama “PU Rahmat Ikhsan” di Twitter, menawarkan sebuah rumah kosong di Gombak sebagai tempat penginapan mahasiswa yang memerlukan.

“Saya ada rumah di Gombak. Jika anda merupakan pelajar yang memerlukan bantuan penginapan kerana terkandas, hubungi Twitter saya. Kita cuba bantu. Kementerian Pengajian Tinggi, ‘shame on you’!” tambah beliau

Kementerian Pengajian Tinggi meminta institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan semua pendaftaran pelajar secara fizikal dan bersemuka atas faktor peningkatan kes Covid-19.

Dalam kenyataan, kementerian itu berkata keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan yang disuarakan oleh mahasiswa, ibu bapa dan masyarakat awam susulan peningkatan mendadak kes Covid-19, hanya beberapa hari sebelum kemasukan mahasiswa baru.

Semalam, menterinya, Noraini Ahmad, memohon maaf atas kesulitan dihadapi mahasiswa berhubung notis penangguhan pendaftaran yang dibuat pada saat akhir.

Beliau berkata, mahasiswa yang telah tiba di kampus masing-masing boleh tinggal di situ sementara menunggu arahan lebih lanjut daripada pihak universiti.

Beberapa NGO juga tampil untuk menghantar mahasiswa yang terkandas pulang ke rumah.

Bernama hari ini melaporkan terdapat NGO bernama Kindness Malaysia menawarkan bantuan kepada mereka yang terkandas di universiti atau rumah sewa untuk pulang ke rumah mereka di Semenanjung.

Pengerusinya, Mohd Azrul Mohd Razak berkata, mahasiswa di kampus IPT di negeri utara Semenanjung boleh menghubungi Kindness Malaysia di talian 016-7074798 untuk bantuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.