Khamis, 29 Oktober 2020

Muhyiddin ajak rakyat bermunajat hadapi Covid-19

MGF19092020_PERJUMPAAN-KHAS-PM-BERSAMA-NGO-ISLAM_09-681x454
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) 
di Puspanitapuri, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua rakyat di negara ini untuk terus bermunajat ketika negara ini masih diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengajak seluruh umat Islam untuk terus bermunajat di kala kita masih lagi diuji dengan wabak Covid-19 serta dalam usaha kita memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Ujian ini seharusnya mengukuhkan iltizam kita untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan kita sebagai umatnya.

“Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah,” kata Muhyiddin dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1442H.

Tema sambutan pada tahun ini adalah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

Menurut beliau, tema ini dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat rabbani dan kepatuhan hamba kepada pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

“Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia,” katanya lagi.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, Muhyiddin juga mengajak umat Islam untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.