Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih memilih agar tiada pilihan raya buat masa ini di saat negara masih bergelut dengan wabak Covid-19, kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.
"Syor kami adalah tidak mengadakan pilihan raya. Tetapi jika ia perlu dibuat, mungkin kita dapat melihat pelbagai cara untuk melaksanakannya, seperti tiada perjalanan rentas negeri atau daerah, tidak ada himpunan dan tidak ada kunjungan dari rumah ke rumah.
"Jadi, ini adalah tiga masalah utama yang harus kita bincangkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - apakah kita dapat melaksanakannya atau dapat membuat pengundian melalui pos," katanya ketika sidang media hari ini.
Antara pilihan raya yang akan diadakan dalam masa terdekat ialah PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak.
Katanya lagi, walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, apa yang lebih penting adalah kepatuhan terhadapnya.
“Kita melihat perkara ini di Sabah. Kita harap tidak mengulangi kesan yang serupa di negeri-negeri lain,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan berbincang dengan SPR berkenaan "SOP ketat" untuk PRK Batu Sapi yang dijadual Disember ini.
Katanya, kerajaan tiada kuasa untuk menangguhkan atau tidak membuat PRK tersebut kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.