Ahad, 4 Oktober 2020

KKM belum cadang tutup sekolah, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM lebih bersedia 
untuk menghadapi trend peningkatan kes Covid-19 kali ini berbanding pada Mac dan 
April lepas.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya belum bercadang untuk mengesyorkan penutupan sekolah, terutamanya yang tidak mempunyai kes jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menasihatkan semua pihak, termasuk guru, pelajar dan kakitangan sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kalau sekolah tersebut ada jangkitan, contohnya sebelum ini dalam kes kluster Tawar ada seorang guru didapati positif dan beliau kembali ke sekolah, kemudian ada jangkitan berlaku barulah kita disyorkan tutup sekolah.

“… tetapi setakat ini tidak disyor penutupan sekolah. Aktiviti tetap boleh berjalan, tetapi kena berhati-hati dan patuh SOP,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini ketika ditanya adakah sekolah wajar ditutup kembali susulan peningkatan kes dalam beberapa hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, KKM lebih bersedia menghadapi trend peningkatan kes kali ini berbanding pada Mac dan April lepas.

“Kalau lihat kesiapsiagaan KKM, kita lebih besedia dibandingkan bulan 3 dan 4, iaitu dari segi peralatan dan pengalaman merawat pesakit Covid-19, juga dari segi penggunaan PPE dan sebagainya.

“Sekarang ini kita lihat peningkatan kes tertumpu di Kedah dan Sabah, jadi kita agihkan bantuan pasukan kita terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan di lapangan untuk tindakan kesihatan awam,” katanya selain memaklumkan bahawa kemampuan hospital juga berada pada tahap baik.

Noor Hisham berkata, pola kes harian yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini adalah hasil tindakan pengesanan aktif dan agresif kementerian di lapangan, membabitkan beberapa negeri untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

“Aktiviti sedang dijalankan di lapangan, biasanya kita akan lihat peningkatan (kes). Kita jangka kes akan meningkat dalam tempoh 2-3 hari dan seminggu ini.

“Ini untuk pastikan kita dapat kesan kes positif. Setelah dikesan kita akan asingkan dan teruskan pengesanan aktif kes positif tersebut. Inilah tindakan kita dari mula lagi, dari bulan Mac dan sebagainya dan kita dapat lihat pengawalan baik,” katanya.

Noor Hisham berkata, semua rakyat perlu mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal kerana ia adalah kaedah paling berkesan untuk memutuskan penularan jangkitan Covid-19.

“Kita menasihatkan semua rakyat supaya gunakan kaedah kesihatan awam penjarakan fizikal 1 meter dan pakai pelitiup muka serta kerap basuh tangan. Ia dapat putuskan penularan sehingga 85%,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.