Port Dickson: Walaupun menderita sakit sejak berusia sembilan tahun, seorang pemuda lumpuh masih berupaya menjadi guru al-Quran kepada kanak-kanak.
Separuh badan Muhamad Hidayat Ishak, 21, disahkan lumpuh selepas menghidap penyakit 'duchenne muscular dystrophy' iaitu lemah otot dan saraf.
Dia yang menetap di Taman Setia, Pasir Panjang di sini, tidak mampu berdiri kesan dari penyakit dialami.
Bagaimanapun, keadaan fizikal dan kecacatan dialaminya bukan halangan untuk dia berbakti kepada anak bangsa.
Kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada Muhamad Hidayat amatlah dikagumi apabila dia mempunyai seramai 35 murid berusia antara enam hingga 17 tahun yang mengaji al-Quran dengannya setiap petang.
Menurutnya, dia mula mengajar mengaji seawal jam tiga petang secara berperingkat tanpa mengenakan bayaran khusus.
"Itulah kebahagiaan bagi saya dengan mengajar al-Quran. Kalau mereka tidak bayar pun saya tak kisah kerana tujuan saya mahu mendidik mereka pandai mengaji al-Quran.
"Sebagai hambaNya, saya bersyukur masih boleh berbakti kepada masyarakat walaupun dalam ruang lingkup yang terhad.
"Bagi saya, kekuatan ini datang dari doa ibu dan murid yang belajar mengaji ini," katanya sambil sesekali memandang ibunya dan anak saudaranya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Ibunya, Maimun Ujang, 57, berkata, walau apa pun terjadi, dia tetap berbangga dengan Muhamad Hidayat yang mempunyai semangat kental.
"Dia hanya mampu menamatkan persekolahan sehingga tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang kerana tubuhnya semakin lemah.
"Doktor memberitahu penyakit anak saya itu tiada ubat. Suami saya pula meninggal dunia tidak lama selepas Hidayat ditimpa sakit.
"Ketika itu saya hanya mampu berniaga kecil-kecilan bagi menampung kehidupan kami lima beranak," katanya,
Kebolehan luar biasa Muhamad Hidayat mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Al-Baasith, MyFundAction serta Bilal Muda yang menyantuni pemuda istimewa itu.
Wakil Skuad Al-Baasith Negeri Sembilan, Khairul Nizam Khairuddin berkata, pihaknya menyerahkan Kotak Rezeki Ummat, MyFundAction kepada keluarga terbabit.
"Kami sedang usahakan beberapa keperluan lagi bagi membantu Muhamad Hidayat berasa selesa untuk meneruskan kelas mengajinya.
"Antara keperluan yang sedang diusahakan adalah tambahan bumbung ruang mengaji di bahagian luar rumah yang kerap dibasahi hujan, rak al-Quran, rehal dan wakaf al-Quran, kipas serta kerusi roda baru," katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0510329000204282 (Muhamad Hidayat Ishak) atau menghubunginya di talian 011-17676405.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.