MELAKA: Kerajaan Melaka menutup sementara Pulau Besar daripada sebarang aktiviti dan kunjungan orang awam bermula semalam (28 Okt) sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan mencegah wujudnya kluster baru.
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata, arahan itu selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri baru-baru ini yang melarang sama sekali sebarang perjumpaan berskala besar melebihi 50 orang dalam satu-satu masa.
“Sebelum ini kita sudah buat pembersihan bersepadu di Pulau Besar dan dalam tempoh kita menyambut Maulidur Rasul, kita tidak mahu ada kluster baru sekiranya terdapat mana-mana kehadiran pengunjung dari negeri zon merah.
“Buat masa ini semua aktiviti di situ akan ditangguhkan dan begitu juga dengan pulau lain yang ada di sekitar negeri ini seperti Pulau Upeh, juga tidak dibenar diadakan perjumpaan berskala besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ziarah Prihatin sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H di sini, hari ini.
Sementara itu Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat mendepani pelbagai isu Covid-19 dalam pembentangan Belanjawan 2021 negeri Melaka nanti.
“Sudah tentu rakyat mahukan yang terbaik kerana banyak negeri dan negara lain yang terkesan disebabkan Covid-19, namun kerajaan negeri yang ada pada masa ini akan memastikan keperluan dan kebajikan rakyat diberi perhatian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.