Gerik: Anggota tentera maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 16, Jalan Gerik - Kupang, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, Muhammad Azizi Ahmad, 25, dari Bukit Indera Muda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengalami kecederaan parah di kepala, maut di tempat kejadian.
Isterinya, Nur Kamaliah Md Nor, 24, dari Lorong Sera, Kampung Air Puteh Junjung, Kulim, Kedah mengalami kecederaan patah bahu dan dihantar ke Hospital Taiping selepas mendapat rawatan awal di Hospital Gerik.
Pemandu lori, Khirul Amir Jafar, 35, dan kelindannya, Suhaimi Jafar, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan membabitkan Proton Saga dan sebuah lori jenis Nissan.
Katanya, siasatan mendapati Proton Saga dipandu Muhammad Azizi dari arah Kulim menghala ke Gerik, manakala lori datang dari Terengganu ke Kulim.
Beliau berkata, kereta dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan lori menyebabkan pemandu maut di tempat kejadian.
"Mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan isterinya dirujuk di hospital sama sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya.
Terdahulu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik
diketuai Mohd Nizam Zakaria mengambil masa kira-kira 45 minit untuk
mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.