Salam sejahtera kepada presiden dan MKT Umno Malaysia.
Saya mewakili diri dan ini pendirian saya sebagai ahli Umno.
Kepada Datuk Seri presiden dan MKT yang bijaksana,
Suara keluhan, risau, gelisah dan pelbagai macam yang dilontarkan oleh ahli akar umbi apakah tidak sampai ke atas?
Bermacam sudah persoalan, teguran, nasihat, ucapan, tulisan yang kami berikan kepada pemimpin parti tetapi langsung seperti tiada kesan.
Kami sayangkan parti keramat. Kami di bawah melihat dari posisi berbeza dengan orang atasan.
Jika
pemimpin atasan ada pandangan tersendiri hal terkait dengan keadaan
parti sekarang, kami di bawah juga melihat keadaan itu. Mungkin presiden
dan MKT melihat dari sudut berbeza dengan kami di bawah yang tidak
punya apa-apa kuasa dan kedudukan.
Jauh sekali kami bukan ada kepentingan dalam jawatan kerajaan yang ada.
Namun saya menulis ini demi menyelamatkan parti Umno dari terus dibuli, ditekan, didera tanpa orang atasan berbuat sesuatu yang saya lihat dari hari ke sehari semakin bercelaru.
Dato Seri presiden dan MKT,
Apa lagi langkah yang perlu ahli lakukan untuk kuatkan parti? Seruan presiden telah kami ikuti. Bersatu kuatkan parti dalam intipati ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2018 saya ikuti dari mula hingga akhir.
Apa juga nasihat dan saranan presiden demi kalikan kekuatan parti, kami ahli akar umbi taat dan bekerja untuk parti.
Boleh ke untuk sekian kalinya, suara akar umbi diambil perhatian oleh tuan presiden dan MKT dalam memandu perjalanan parti?
Mungkin kami hanya pengikut dan orang bawahan yang lemah, lembab, kurang mahir sepak terajang politik dan kurang ilmu, tetapi kami juga berhak mengeluarkan pendapat, nasihat, teguran dan kritikan demi mengembalikan parti ke landasan yang pernah parti duduki dahulu.
Dato presiden dan MKT,
Di bawah ini saya ingin bertanya dari hati. Moga pertanyaan ini sampai dan dapat respon daripresiden dan MKT.
- Apakah nasib Muafakat Nasional sebenarnya bila PAS bersama PN sebuah lagi gabungan parti lain. Saya tidak mahu pertikaikan PAS hendak ke mana kerana itu hal mereka. Tetapi apa hala tuju MN selepas ini?
- Umno merupakan parti dalam MN bersama PAS. Bagaimana dan apa formula Umno hendak membahagikan kerusi bersama Umno untuk PRU15? Sedangkan dalam masa sama PAS bersama PN juga pasti merundingkan kerusi untuk mereka.
- Presiden dan MKT perlu segera muktamatkan apa kesudahan gabungan MN agar ahli akar umbi boleh faham dan menerima apa juga keputusan. Sama ada gabungan ini terus diperkukuhkan atau sebaliknya.
- Kemarahan, gelisah dan risau nya ahli akar umbi kepada tindakan PAS bersama PN bersebab. Akar umbi tidak mahu Umno terus dibuli dan didera menjadi kuda tunggangan sesiapa untuk mencari benefit politik parti semata.
- Umno sudah lama berlembut dan mengalah kepada Bersatu. Tapi nampaknya Bersatu tidak jujur dan makin terlihat kelakuan mereka membuli Umno. Mereka mulai kuatkan parti mereka dengan menjadikan Umno sebagai batu loncatan untuk mereka menguasai arena politik dan kerajaan. Apakah presiden dan MKT tidak melihat perkara ini?
- Prestasi Umno BN di PRN Sabah merosot kerana pemimpin bertolak ansur memberikan kerusi tradisi kepada PN (Bersatu). Kini siapa yang susah dan siapa yang dah mulai bongkak? Bersatu sudah mulai pandai mengugut dan meminta jawatanketua menteri Sabah padahal Bersatu hanya menang 10 kerusi berbanding BN 14. Apa tindakan presiden dan MKT?
- Kedudukan BN semakin merosot. Tanda aras di PRN Sabah baru berlalu. Komponen BN seperti MCA sudah tidak diterima oleh pengundi. Lagi teruk hilang deposit pun ada. Ini tidak merisaukan presiden dan MKT ke bila memikirkan PRU15 akan datang?
- Apakah presiden dan MKT akan teruskan formula pembahagian kerusi dalam BN menghadapi PRU15? Jika ya, bersedia untuk hilang banyak kerusi BN dari MCA dan MIC.
- Apakah presiden dan MKT akan terus beralah beri kerusi tradisi kepada Bersatu di kalangan bekas pemimpin Umno yang lari tempoh hari? Lihat apa nasib BN di Sabah yang berikan kerusi tradisi kepada Bersatu? Sudah la komponen BN (MCA) bertanding dikawasan yang ditandingi juga oleh PBS dalam gabungan GRS. Apa semua ini presiden dan MKT Umno?
- Ahli akar umbi sudah letih dan penat bekerja bermatian di bawah tapi orang atasan seperti tidak melihat bahaya dan bahana yang akan melanda parti Umno. Tindakan seperti di Sabah telah jelas dan apakah masih tidak mahu belajar dan mengambil pengajaran darinya.
- Jika tidak mahu mendengar pandangan orang bawah yang masih cintakan parti, tidak ada kepentingan bagi pemimpin atasan maka tunggu la nasib apa akan terjadi pada parti Umno dan BN.
- Presiden dan MKT Umno jangan buang masa buat itu ini segala eksperimen dan ujikaji. Mesyuarat dan putuskan segera apa tindakan yang perlu untuk memulihkan imej dan sokongan rakyat kepada Umno dan BN.
- Jika tidak ada jalan lain, kalaulah jalan bersendirian itu jalan terakhir perlu dilalui, maka kami ahli akar umbi akan terus menyokong parti tanpa berbelah bagi.
Lebih baik hidup bermaruah daripada menjadi kuda tunggangan dan dibuli oleh pengkhianat, penipu dan tukang fitnah.
*TANDIKO DALUSIN adalah akar umbi Umno dari Rasah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.