Assalamualaikum yang berbahagia Dr Radzi Jidin. Saya seorang waris murid dari utara dan anak-anak saya berseklah di Kedah.
Tuan Dr, bermula daripada kes pertama Kluster Sivagangga sehinggalah ke kluster terkini iaitu Kluster Sungai, kes positif covid telah banyak dikesan di kalangan murid sekolah.
Kami para waris di sini bukan sahaja bimbang anak-anak akan terkena jangkitan, tetapi setiap kali ada kes walaupun melibatkan seorang murid atau waris murid, beribu murid lain akan dipaksa menjalani saringan swab.
Saya yakin tuan tahu bahawa prosedur ini boleh menjadi mimpi ngeri buat anak-anak terutamanya murid pra dan rendah.
Unit Pendidikan Kesihatan Kota Setar pernah mendedahkan bahawa 10,621 sample telah diambil bagi saringan selama dua hari, dan ini belum termasuk sekolah-sekolah yang pernah disaring sebelum itu, contohnya di Sungai Petani, Kulim dan lain-lain.
Ada murid yang sudah takut dan trauma hendak ke sekolah akibat daripada saringan tersebut.
Saban hari saya sebagai waris murid menunggu respons daripada pihak KPM khususnya tuan sebagai menteri kanan pendidikan.
Jangan katakan hendak mengeluarkan sebarang kenyataan atau rasa simpati, hendak menulis mengenai Kedah di laman media sosial tuan dan KPM pun tidak.
Yang saya nampak hanyalah perkongsian mengenai Sabah, Sabah dan Sabah. Melawat sekolah-sekolah di Sabah, bermain bola sepak di Sabah, semuanya di Sabah.
Gigih sungguh team KPM berkampung di sana.
Sekolah-sekolah di Kedah ini tuan jeling pun tak mahu, sedangkan kes di sekolah-sekolah di sekitar Kedah lebih tinggi berbanding Sabah pada waktu itu terutamanya di Kota Setar.
Dan kes di Kedah ini sudah lama bermula dan berkemungkinan akan terus berlaku. Kami di sini tidak cemburu, cuma tertanya-tanya, pihak tuan tidak pandai memberi prioritikah?
Rakyat yang memerhati tindak-tanduk tuan sudah boleh mengagak dari awal mengapa tuan dan team begitu gigih peduli Sabah.
Ya, kerana PRN Sabah.
5 minggu cukup lama
Sambil menyelam sambil minum air, dan pada 29 September, semua spekulasi itu terjawab apabila tuan telah memuat naik status di Twitter mengakui bahawa tuan telah menjelajah bumi Sabah selama lima minggu demi “pilihan raya negeri Sabah 2020”.
Lima minggu adalah tempoh yang sangat lama.
Jika sekolah-sekolah di Kedah diberi perhatian sepanjang tempoh lima minggu itu, tidaklah 10,000 lebih murid terpaksa ‘diswab’!
Saya sangat kecewa.
Tuan Dr, bersyukurlah kerana masih ada peluang kedua. Peluang untuk tuan menebus kesilapan lalu.
Di saat semakin banyak negeri mula terjejas akibat kes positif yang dibawa pulang dari kawasan berisiko tinggi, adalah baiknya tuan mula memberi fokus kepada tugas hakiki tuan pula iaitu menyantuni pendidikan, sekolah-sekolah, guru-guru dan murid-murid.
Mohon faham bahawa prioriti tuan adalah kami semua, bukan parti politik tuan!
Tutuplah sekolah-sekolah lebih awal supaya keadaan lebih terkawal. Belajarlah daripada apa yang berlaku di Kedah.
Jangan menggunakan pendekatan wait and see dan hanya menutup sekolah apabila berlaku kes.
Murid-murid di Kedah sudah melaluinya dan pengalaman itu cukup perit. Pendekatan prevention is better than cure adalah jauh lebih relevan pada waktu ini.
Kami faham bahawa pendidikan itu penting, tetapi nilai keselamatan adalah jauh lebih penting.
Bukan kami meminta sekolah ditutup bertahun-tahun, memadai beberapa minggu, sebulan, atau sehingga kes di seluruh negara reda sedikit.
Mungkin akan ada pihak yang bertegas bahawa penutupan sekolah berada di bawah kuasa MKN atau KKM.
Jika ini berlaku, maka adalah menjadi tanggungjawab tuan untuk fight for us demi keselamatan bersama.
Saya pasti, guru-guru juga mungkin berada dalam keadaan tertekan.
Tak kasihankah?
Selain mengajar, mereka terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam memantau setiap pergerakan murid bagi menjaga SOP.
Di Kedah, melalui maklumat yang saya dapat, pernah ada kes murid-murid mendapat jangkitan selepas menggunakan pengangkutan yang sama.
Seperkara lagi, tidakkah proses saringan besar-besaran akan menelan belanja yang besar?
Perbelanjaan untuk saringan swab, PPE dan sanitasi - tidakkah membazir?
Dan tidak ada belas kasihankah kepada frontliners? Mudahan perkara ini dapat diberi perhatian segera.
Sekian daripada saya.
Oh ya, memandangkan tuan ke Sabah atas tujuan utama berpolitik, segala kos pengangkutan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kementeriankah, atau ditaja oleh parti?
Kami rakyat bawahan hanya mampu berdoa semoga tuan dan pihak KPM jujur menggalas amanah, tidak menggunakan peruntukan kementerian untuk tujuan yang tak sepatutnya.
Semoga tuan dan team dirahmati Allah SWT. Semoga keprihatinan dan sifat profesionalisme tuan terus SuBuR.
MR : Apa pandangan perlu perhatian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.