Selasa, 1 September 2020

Sultan Johor hidupkan semula gelaran Mejar Cina

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan gelaran Mejar Cina yang pernah dikurniakan Sultan Abu Bakar sebelum ini dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah Johor moden.

Justeru, Sultan Ibrahim berkenan melantik pengurus ladang sawit Mado’s, David Wong Khong Soon sebagai Mejar Cina berkuatkuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Abdul Rahim Ramli berkata, Mejar Cina Wong yang berketurunan Wang Ah Fook akan menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan lain-lain Yayasan Diraja Johor serta pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat dalam mengenalpasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan bantuan keperluan makanan kepada bangsa Johor khususnya masyarakat Cina.

“Dalam menjalankan tugas itu, Mejar Cina Wong tidak disifat sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak, imbuhan, kemudahan atau keistimewaan,” katanya.

Pada 1840, Temenggong Daeng Ibrahim membenarkan pengikutnya daripada bangsa Cina berpindah dari Singapura ke Tanah Besar Johor dan membuka sebuah penempatan dinamakan kangkar di tebing sungai Tebrau.

Pada 1870, terdapat 29 kangkar di Johor.

Masyarakat Cina pada ketika itu dibenar menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

Temenggong melantik seorang ketua dalam kalangan penduduk kangkar sebagai ‘kangcu’ untuk mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

Mereka yang berkebolehan dilantik sebagai kapitan Cina dan Mejar Cina.

Masyarakat Cina menghargai jasa Temenggong dan Mahajara Abu Bakar dan pada 1873, mereka membina dan menghadiahkan bangunan Dewan Cina di kawasan Istana Besar kepada Maharaja Abu Bakar untuk dijadikan tempat mesyuarat dewan negeri dan tempat perjumpaan Maharaja dengan kangcu setiap tahun menyambut ulangtahun Hari Kerajaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.