MALAYSIAKINI
Proses pengundian awal melibatkan anggota polis, tentera dan pasangan mereka hari ini berjalan lancar meskipun cuaca di beberapa kawasan pada awal pagi agak mendung.
Tepat jam 8 pagi, kesemua pusat pengundian awal telah dibuka buat para pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka.
Semua pusat pengundian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menyediakan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan.
Di Kota Kinabalu seramai 2,131 pengundi mengundi di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar dengan empat saluran dibuka.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Thomas Logijin berkata setakat 10 pagi ini kira-kira 15 hingga 20 peratus pengundi telah mengundi.
Sementara itu, di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan seramai 46 petugas sentiasa memastikan semua anggota dan pegawai polis serta pengamal media mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk sentiasa memakai pelitup muka.
Pegawai Pengurus DUN Kepayan Robert Stidi berkata setakat pukul 10 pagi, kira-kira 35 peratus daripada 1,444 anggota dan pegawai polis telah selesai mengundi di situ.
Turut hadir meninjau perjalanan
pengundian awal itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul
Ghani Salleh, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.
Di Sandakan, terdapat 340 pengundi awal dalam kalangan anggota pegawai tentera serta pasangan dan pusat pengundian awal ialah di Dewan Azim, Taman Samudera.
Pegawai Yang Bertanggungjawab DUN Karamunting Leftenan Komander Farizha Ibrahim berkata pematuhan SOP diamalkan semasa proses pengundian berlangsung dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata seramai 431 pengundi dalam kalangan anggota dan pegawai polis serta pasangan masing-masing mengundi di tujuh pusat pengundi di Sandakan termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Kelab IPD Sandakan.
Sementara itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 46 peratus pengundi awal keluar mengundi setakat 11 pagi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.