Ahad, 30 Ogos 2020

Wajarkah PRU15 disegerakan?

Syahmi Minhad
MG231119_MESYUARAT-MAJLIS-PAKATAN-HARAPAN06-681x454

POLITIK  negara hari ini nampaknya masih belum reda dengan isu-isu panas membabitkan pihak kerajaan dan pembangkang. Dengan hanya memiliki 2 majoriti di parlimen, kerajaan ketika ini yang ditunjangi BN, PPBM, PAS dan GPS berada pada tahap yang amat goyah dan boleh runtuh bila-bila masa sahaja. Pergelutan mempertahankan kuasa sebenarnya telah bermula sejak tahun 2018, namun tahun ini nampaknya semakin meruncing. 

Di pihak pembangkang, mereka mendakwa kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin ketika ini adalah ‘kerajaan pengkhianat’. Tuduhan itu kerap-kali diputar dan diulang-ulang dengan alasan kerajaan yang ditubuhkan bukan pilihan rakyat.

Pihak kerajaan pula ditubuhkan dengan kelebihan 2 kerusi di parlimen dan mereka terpaksa bertahan dengan sokongan yang sangat sedikit. Daripada 222 kerusi parlimen, 113 menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin manakala 109 lagi menentang. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan Malaysia pada hari ini adalah kerajaan yang benar-benar genting dan tidak pernah terjadi lagi semenjak negara mencapai kemerdekaan. 

Walaupun berada dalam keadaan genting, pentadbiran negara perlu berjalan dan tidak boleh dibiarkan kosong tanpa kerajaan. Namun, persoalannya ketika ini, apakah perlu disegerakan PRU-15, sedangkan PRU-14 baru sahaja dilaksanakan dua tahun yang lalu? Dan apakah dengan menyegerakan pilihan raya, konflik politik negara dapat dihentikan?

Kerajaan memerlukan lebih banyak sokongan

Jika dinilai dari segi kestabilan politik negara, kerajaan memerlukan lebih banyak sokongan Ahli Parlimen untuk mengukuhkan pentadbiran. Kelebihan dua majoriti di parlimen tidak menjamin kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin untuk bertahan lama dan sebab itulah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Muhamad Hasan (Tok Mat) kerap kali mendesak supaya disegerakan PRU-15. 

Dengan adanya lebih banyak sokongan di Parlimen, sesuatu rang undang-undang lebih mudah diluluskan tanpa perlu melalui banyak tekanan. Ketika ini, Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan perlu bekerja lebih keras, menghabiskan lebih banyak masa di Parlimen, perlu membataskan pergerakan ke luar negara kerana kerajaan memerlukan undi yang mencukupi untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang.

Pembangkang masih kelam-kabut

Percakaran secara terbuka antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim ketika ini bukanlah lagi satu rahsia. Persamaan mereka berdua adalah memimpin parti blok pembangkang, dan kedua-duanya mempunyai cita-cita yang sama iaitu mahu merebut jawatan Perdana Menteri. 

Namun, ‘kapal’ yang dipandu mereka tidak menuju ke arah yang sama dan masing-masing mendakwa mempunyai sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru.

Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menjadi sebahagian daripada blok pembangkang dilihat  menjauhkan diri daripada Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Warisan nampaknya lebih selesa membawa haluan sendiri menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka akan berlangsung pada 2 September ini. 

Memudahkan cerita, parti-parti utama dalam blok pembangkang masih kucar-kacir, berterabur dan tidak kuat menekan kerajaan. Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin boleh bernafas dengan sedikit kelegaan kerana porak-peranda dalam kem pembangkang berupaya mengendurkan sedikit tekanan kepada kerajaan yang hanya mempunyai dua majoriti di Parlimen.

Usaha pemulihan ekonomi

Pandemik Covid-19 benar-benar mengubah landskap ekonomi dunia dan Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada menerima tempias. Penutupan pintu masuk negara dan penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan ekonomi negara merudum. Sektor pelancongan yang selama ini menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara menjadi lumpuh kerana tiada pergerakan masuk pelancong asing.

Setelah bergelut dengan krisis ekonomi yang amat kritikal, kerajaan dan rakyat Malaysia ketika ini sedang berusaha untuk bangkit semula. Pembukaan lebih banyak sektor perniagaan, peruncitan dan menangani masalah pengangguran menjadi tugas utama kerajaan demi memastikan ekonomi negara pulih semula. 

Jika mahu mengadakan semula pilihan raya, tunggulah sehingga ekonomi sedikit pulih. Ketika ini, rakyat dan kerajaan sama-sama bergelut untuk cuba bangkit daripada kegawatan ekonomi dan usaha-usaha pemulihan ekonomi sedang giat berjalan. Mengadakan pilihan raya secara mengejut bukanlah satu keputusan yang tepat kerana menelan kos ratusan juta ringgit dan ada baiknya wang itu dibelanjakan bagi tujuan pemulihan ekonomi negara. 

Melihat kepada situasi politik semasa, ada baiknya PRU-15 diadakan paling awal pada tahun hadapan, atau sekurang-kurangnya melebihi tempoh 3 tahun dari tarikh PRU-14. Pertukaran tampuk pimpinan kerajaan yang terlalu kerap sebenarnya memberi kesan negatif kepada negara. 

Setiap kali kerajaan bertukar, polisi pentadbiran juga akan berubah. Ekonomi negara akan menjadi tidak stabil kerana pelabur-pelabur asing akan melihat Malaysia sebagai destinasi yang tidak selamat untuk menjalankan pelaburan.

* Syahmi Minhad - Pembaca Malaysia Gazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.