KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dilihat tidak teruja dan kurang ghairah untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali-63 biar pun sambutan itu hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Meskipun sedih melihat situasi ini namun apakan daya kerana negara dan dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mendakwa rasa teruja dan keseronokan untuk menyambut kemerdekaan dalam kalangan rakyat semakin dingin.
Ia bukan sahaja pada tahun ini tetapi sejak beberapa tahun lalu, katanya.
Cuma kali ini lebih teruk, mood merdeka itu terasa lenyap.
“Hendak cakap apa pun tak tahu tapi rasa teruja itu hilang.
“Bukan sahaja orang biasa, malah kalau kita tengok perniagaan-perniagaan juga tidak kibarkan bendera seperti tahun-tahun dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kok Seong tidak menafikan pandemik Covid-19 yang masih ‘meresahkan’ rakyat Malaysia telah melenyapkan kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan negara.
Katanya, keadaan yang berlaku kerana rakyat perlu melalui norma-norma baharu – menjalani kehidupan dengan mematuhi prosedur operasi standard sekaligus menyebabkan kehidupan bebas selama ini kian terbatas.
“Hendak berseronok beramai-ramai menyambut ulang tahun kemerdekaan di luar pun kita rasa was-was. Kena patuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka lagi, tidak boleh bersentuhan…itu semua renyah,” ujarnya.
Selain itu, kata Kok Seong, ketidaktentuan ekonomi disebabkan impak Covid-19 juga menyebabkan semakin ramai rakyat susah.
“Jadi faktor-faktor ini semua menjejaskan mood,” tambah beliau.
Namun, beliau tidak menolak masalah urus tadbir negara yang kurang baik sejak beberapa tahun lalu juga telah mengikis keterujaan untuk menyambut hari bermakna itu.
Jelasnya, episod salah urus negara yang menyaksikan penyalahgunaan kuasa, perubahan tampuk kuasa negara, janji kepada rakyat tidak ditepati, krisis politik dan kepimpinan di Malaysia menimbulkan pelbagai rasa dalam hati rakyat.
“Kita sudah tiga kali bertukar kerajaan. Walaupun situasi (kepimpinan negara) nampak sudah reda tetapi belum ada kesudahan dengan isu-isu yang ditimbulkan.
“Keadaan berterusan ini mendorong rakyat rasa menyampah dan akhirnya mereka menunjukkan sikap tidak kisah, walaupun membabitkan hari penting negara,” kesal Kok Seong.
Menurutnya, Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu enam bulan mentadbir negara tidak sempat mentadbir sepenuhnya.
Ini kerana, Perdana Menteri dan barisan Kabinet perlu menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 dan isu-isu ekonomi.
Jadi, kerajaan sekarang belum 100 peratus berfungsi.
“Walaupun kerajaan melakukan percubaan berani dengan menyalurkan suntikan RM295 bilion dan usaha murni membantu rakyat namun beban ekonomi yang dihadapi rakyat pada masa ini adalah nyata.
”Perkara-perkara ini telah memberi impak kepada rakyat yang sekarang perlu bekerja keras untuk kelangsungan kehidpan masing-masing. Yang lain-lain mereka tidak kisah,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.