Isnin, 31 Ogos 2020

PM: Prinsip 'Prihatin Rakyat' akan diterjemah dalam Belanjawan 2021

Malaysiakini

Kerajaan Perikatan Nasional akan menjadikan ‘Prihatin Rakyat’ sebagai prinsip panduan utama dalam membela nasib dan mengutamakan kebajikan rakyat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata prinsip ini telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Insya-Allah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan. Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam perutusan khas Hari Kebangsaan ke-63 yang disiarkan di semua stesen televisten tempatan iaitu RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani malam ini.

Perdana Menteri menjelaskan, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat termasuklah ketika berdepan dengan wabak Covid-19 dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk dimanfaatkan.

“Kita sediakan Bantuan Prihatin Nasional, morotarium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion keseluruhannya untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Di samping itu, untuk membantu memulihkan ekonomi, kerajaan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA yang berjumlah RM35 bilion,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata langkah itu telah membuahkan hasil hari ini apabila sektor-sektor ekonomi negara telah mula rancak dengan lebih 15 juta pekerja telah kembali bekerja selain kadar pengangguran mengalami trend pengurangan daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada bulan Jun.

“Saya sedar banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya. Tetapi saya yakin, sekiranya trend pemulihan ekonomi berterusan ekonomi negara kita akan pulih lebih cepat,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau sedar tidak semua rakyat di negara ini bernasib baik, dengan ada yang terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga, selain ramai yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan sekiranya terputus mata pencarian.

“Saya sedar tentang perkara ini. Kerana itu, ketika wabak Covid-19 mula melanda negara dan sektor-sektor ekonomi ditutup, perkara pertama yang dilakukan oleh kerajaan ialah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat. Alhamdulillah, pelbagai bantuan yang disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat di waktu susah,” katanya.

Menurut Muhyiddin, pandemik Covid-19 itu memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada semua hingga berjaya menangani krisis berkenaan, kerana dasar prihatin yang ditetapkan dan diamalkan, seperti petugas barisan hadapan dan sukarelawan, selain rakyat sendiri dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Justeru, bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, Muhyiddin menyeru agar semua rakyat menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

“Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita. Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaannya, pertahankanlah kedaulatannya, peliharalah keamanannya.

“Insya-Allah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 disertai laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”.

Stadium Merdeka di Kuala Lumpur menjadi lokasi bagi Perdana Menteri menyampaikan perutusan khas beliau sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

“Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lepas, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu,” kata Muhyiddin.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.