Ahad, 23 Ogos 2020

Perbaiki proses undi pos antara fokus SPR, kata Azmi

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata, badan itu 
sedang mengkaji proses pengundian pos, termasuk isu kertas 
undi tidak sampai kepada pengundi.

PUTRAJAYA: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem perjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata, sebuah jawatankuasa khusus diketuai ahli SPR Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan, terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos, termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya.

Azmi berkata, SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak, termasuk desakan terbaru yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam pilihan raya negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu beliau berkata, kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Katanya, faktor pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata, SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah, tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya berkata, terdapat banyak penambahbaikan yang dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baru dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi, iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian adalah lebih telus.

“Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian 6 pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai timbalan pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan perlembagaan persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata, SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya, sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu, termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) daripada JPN.

“Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata, dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira 4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.