SLIM RIVER – Restoran popular dengan mi udang, Pakya Bistro dan Catering di Kuala Slim di sini menafikan tuduhan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Wan Deris yang kedai tersebut ditutup selepas ‘dibayar’ oleh jentera parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Menerusi kenyataan di laman Facebook, pemilinya, Pakya atau nama sebenarnya Shafee Abdullah berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Wan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Papagomo adalah bersifat fitnah.
Jelas pemilik kedai itu lagi, beliau langsung tidak takut dengan kehadiran Papagomo untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
“Pakya ingin tegaskan Kedai Pakya tutup hari ini untuk restock (isi semula bekalan) udang, udang habis.
“Bukan sebab takut Papagomo datang ke kedai berkempen atau dibayar oleh mana-mana parti,” katanya.
Mengulas lanjut, Pakya berkata, dia tidak menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam PRK tersebut.
“Tetapi tolong jangan fitnah Pakya macam ini Papagomo. Pakya minta maaf ya, Pakya tak main politik (dan) ini satu fitnah,” katanya sambil mempelawa Papagomo untuk datang ke kedainya.
Sebelum ini, Papagomo dalam kemas kini di laman Instagram mendakwa kempennya terpaksa ditukar ke Felda Besout 2 di sini selepas kedai Pakya ditutup, kononnya untuk menghalang dia berkempen di situ.
“Kedai Pakya terpaksa ditutup atas alasan tukang masak cuti. Tetapi kau orang semua boleh bayangkan lah berhadapan dengan geng pejuWANG (dipercayai merujuk kepada Pejuang) ini, mereka semua boleh bayar sama ada nak buka atau tutup,” tulis Papagomo.
Bagaimanapun, Papagomo yang sering mencetuskan kontroversi dalam kemas kini terbaharunya hari ini tampil memohon maaf susulan dakwaan tersebut.
PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, daripada parti Pejuang (sebelum ini belum didaftarkan lagi), 38, dan S. Santhasekaran, 44. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.