Jumaat, 28 Ogos 2020

Mukhriz sah anak, menantu ditahan langgar PKPP

PETALING JAYA: Mukhriz Mahathir mengesahkan anak dan menantunya antara individu ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, beliau sendiri sudah memberi peringatan kepada seluruh anggota keluarganya, supaya sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan Putrajaya dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya sudah pesan kepada kaum keluarga, musim PKPP jangan langgar dan mesti tunjukkan contoh yang baik. Sebab itulah saya rasa kecewa apabila pelanggaran tetap berlaku dan memang patutlah kompaun dikenakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Bandar Felda Besout 3, Perak hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menafikan pihaknya mengamalkan “double standard” terhadap mana-mana individu termasuk anak seorang kenamaan yang didapati melanggar PKPP, baru-baru ini.

Mazlan berkata, pihaknya terkesan isu yang ditularkan di media sosial berkaitan tangkapan anak seorang kenamaan yang didakwa melanggar PKPP tetapi terlepas daripada tindakan.

Menurut kenyataan, polis pada 22 Ogos lalu jam 1.20 pagi menjalankan serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, TTDI, Kuala Lumpur.

Hasil pemeriksaan, polis menahan seorang lelaki India berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warga Bangladesh dan 3 wanita Filipina disyaki pekerja di premis berkenaan.

Mukhriz pada masa sama turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada polis yang bersikap tegas dengan mengambil tindakan secara adil dan saksama terhadap anak dan menantunya tanpa bersikap pilih kasih.

“Memang benar, anak dan menantu saya sudah dibawa ke balai bersama 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar PKPP. Mengikut kenyataan polis, mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikenakan kompaun RM1,000. Semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya.

“Polis adil dan saksama, tidak ada unsur pengurangan dari segi kompaun. Ikut undang-undang kena bayar RM1,000 dan tidak ada pengurangan kompaun. Kita juga syukur tidak dinaikkan. Polis berkeupayaan menguatkuasa dalam cara adil dan tidak pilih kasih,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.