Selasa, 25 Ogos 2020

Kenapa menteri ingkar kuarantin tak didakwa di mahkamah, soal pembangkang


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan isu seorang menteri tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki, di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali berkata, tiada sesiapa yang melebihi undang-undang kerana akta digubal untuk melindungi rakyat dan negara.

“Sesiapa saja kalau kita lihat, semasa Covid-19 ini, malah Agong dan perdana menteri sendiri melalui kuarantin di rumah.

“Tetapi, kalau ada kes lebih serius yang dijalankan penyiasatan polis, maka ini terpulang kepada agensi seterusnya seperti pihak polis dan peguam.

“Kalau kes Seksyen 24 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dihadapkan ke mahkamah, maka mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk kesalahan dilakukan dan tak kira sesiapa,” katanya di Dewan Rakyat.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati sekali lagi mempersoalkan kenapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali tidak dihadapkan ke mahkamah.

Mereka mahu tindakan lebih tegas kerana rakyat yang melanggar peraturan Covid-19 dipenjarakan, tetapi bukannya menteri.

Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, mereka yang melanggar peraturan akan didakwa di mahkamah mulai April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon bertindak mematikan speaker dan mengingatkan ahli Parlimen tiada soalan tambahan dibenarkan.

“Ini bukan sesi perbahasan, ini sesi pertanyaan, soalan sudah dijawab.”

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan itu, kes itu masih disiasat polis.

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi beliau menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Khairuddin kemudiannya memohon maaf dan berjanji akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri untuk Mei hingga bulan ini sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan.

#Sumber : FMT  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.