Adakah kerajaan akan turunkan harga secara berperingkat?
KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga siling pelitup muka tiga lapis yang berkuat kuasa pada harga RM1 ketika ini, bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Cha ingin tahu sama ada harga siling itu akan diturunkan secara berperingkat pada masa depan memandangkan bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling.
Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai sama ada kementerian itu bercadang untuk memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap memandangkan mereka memberi perkhidmatan sama kepada masyarakat.
Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan beralih kepada soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo Sarawak serta jangkaan projek berkenaan siap sepenuhnya.
Usai sesi itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dijangka membacakan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 buat kali pertama.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.