Sabtu, 25 Julai 2020

Tiada kuarantin di rumah lagi mulai hari ini – Ismail Sabri

Manzaidi Mohd Amin
MGF14072020_PARLIMEN-MALAYSIA19-681x454
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini, kerajaan tidak lagi berkompromi dalam soal kuarantin wajib bagi rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, mereka akan ditempatkan di Stesen Kuarantin yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, seramai 1,244 rakyat yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 semalam, masih dibenarkan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Mereka ini, katanya, pulang dari China, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Kemboja, Jepun, Laos, Belanda, India dan Korea.

“Tetapi, mereka yang tiba di KLIA dan KLIA2 hari ini akan dihantar ke Stesen Kuarantin yang telah kerajaan tetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dari 1,244 individu itu, seorang dari mereka telah dibawa ke hospital, manakala selebihnya dibenarkan pulang untuk proses kuarantin selama 14 hari.

Kata beliau, dari 10 Jun hingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 24,701 individu di pintu masuk KLIA.

Dari jumlah itu, 24,621 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 80 lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.