Selasa, 28 Julai 2020

RM201,185 kos makan PATI sehari

Oleh Maszureen Binti Hadzman

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR: Purata RM201,185 sehari dibelanjakan kerajaan bagi menampung kos makanan 15,552 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di 14 depot Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Ini bermakna, sebanyak RM36.61 juta dibelanjakan untuk menanggung PATI dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Kos itu menggunakan hasil kutipan kerajaan.

Kos tersebut tidak termasuk kos perubatan percuma kepada PATI, selain menempatkan beberapa pegawai perubatan di setiap depot bagi memberi rawatan awal sebelum mereka dibawa ke hospital.

Ini sekali gus menepis laporan media antarabangsa, Al Jazeera baru-baru ini yang mendakwa Malaysia memberi layanan buruk dan diibaratkan seperti haiwan terhadap PATI.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, purata kos makanan setiap PATI RM12 sehingga RM14 sehari mengikut depot.

Katanya, dengan peruntukan tersebut, mereka makan empat kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan malam.

“Menu makanan pula berkhasiat dan diluluskan Kementerian Kesihatan. Semua kos dan prosedur tersebut bagi memastikan hak asasi semua PATI terpelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Khairul Dzaimee, kebiasaannya PATI terpaksa berada di depot sebulan hingga dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Justeru, kata beliau, pihak kedutaan diminta segera menyediakan dokumen perjalanan dan tiket balik kepada rakyat mereka yang ditahan didepot imigresen agar PATI dapat dihantar pulang dengan cepat.

Penghantaran pulang PATI berkenaan, turut membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung kerajaan.

Selain itu, dedah Khairul Dzaimee, kebanjiran PATI menyebabkan lapan daripada 14 depot tahanan melebihi kapasiti dan mengalami kesesakan.

Katanya, sehingga 19 Julai lalu, terdapat 15,552 PATI ditempatkan di depoh-depot imigresen seluruh negara berbanding kapasiti sebenar hanya 12,530.

“PATI tertinggi adalah rakyat Indonesia 5,259, diikuti Myanmar (3,969), Bangladesh (2,610), India (932), Vietnam (613), China (588), Thailand (400), Filipina (310), Nepal (230), Pakistan (209) dan lain-lain warganegara (432),” ujarnya.

Tambah Khairul Dzaimee, jumlah PATI yang diusir dalam tempoh sama sebanyak 19,917. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.