PARLIMEN | Anggota Parlimen Rompin dari Umno Hasan Arifin, hari ini meminta agar pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH) digantung sehingga siasatan penuh dilaksanakan terhadap dakwaan salah urus dana dan hasil siasatan diterangkan kepada Parlimen.
“Saya minta kerajaan menggantung pengurusan tertinggi Tabung Haji sehingga ada satu penyelesaian yang muktamad dan dapat dilihat siapa yang benar, siapa yang salah.
“Tabung Haji ini amat penting (untuk) umat Islam dalam negara kita ini.
“Saya minta audit diadakan dan taklimat (tentang keputusannya) diberikan kepada ahli ahli Parlimen,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Isu dakwaan salah urus dana TH kekal menjadi perhatian setelah Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Bebas- Langkawi) bertikam lidah berkenaan dakwaan tersebut sepanjang Azeez menjadi pengerusinya sejak 2013 sehingga 2018.
Azeez membidas Mahathir yang mendakwanya merompak TH dan berkata bahawa tiada pertuduhan dibuat ke atasnya sepanjang pentadbiran kerajaan PH.
Untuk rekod, Abdul Azeez berdepan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Pihak pendakwaan tidak mengenakan sebarang pertuduhan berkaitan dengan TH terhadap Abdul Azeez sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.
Penilaian yang dibuat juruaudit bebas PriceWaterhouseCoopers pada 2018 mendapati liabiliti TH melebihi nilai asetnya, yang bermaksud ia tidak boleh membayar dividen selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.
Namun, pihak pengurusan TH ketika era BN didakwa menyembunyikan kerugian yang ditanggung itu dan menunjukkan lebihan untuk membayar dividen.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki beberapa kali menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan TH yang terjadi semasa pentadbiran BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.