Haji Rashidi Haris
Pengkhianat anggap kebebasan bersuara boleh hina negara
JIKA ada negara lain mempersoalkan hukuman “buang negara” sebagai suatu yang zalim, kita tanya kepada mereka bagaimana jika wajah ibubapa kamu diconteng-conteng oleh orang lain?
Jika jawapannya “berdiam diri”, maka di mana letaknya maruah dan harga diri kamu?
Begitu jugalah dengan isu terbaru penghinaan terhadap Jata Negara, siap dengan bukunya sekali.
Sampai begitu bencinya pengkhianat ini tanpa peduli batasan atau had kesabaran orang lain, seolah-olah menganggap kebebasan bersuara itu sampai membolehkan menghina kedaulatan dan maruah negara.
Peliknya, sama ada dia sedar atau tidak, dia menumpang hidup di negara ini.
“Menumpang hidup” di sini bermaksud kita sebagai rakyat tertakluk kepada akta undang-undang negara ini.
Kita bukannya pemilik mutlak sehingga membolehkan kita melakukan apa sahaja, boleh maki hamun sesiapa sahaja, boleh perlekeh apa sahaja dan boleh hina apa sahaja.
Rakyat yang berakhlak adalah rakyat yang tahu had sempadan bagi dirinya sepanjang ia hidup di negara yang berdaulat.
Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat yang mempunyai raja sebagai ketua negara dan mempunyai lambang-lambang serta simbol-simbol kedaulatannya yang tersendiri, termasuk Jata Negara.
Semua negara mempunyai Jata Negara masing-masing dan tersendiri.
Ianya sebagai simbol kedaulatan negara itu. Menghinanya sama seperti menghina maruah seluruh rakyat Malaysia.
Hukuman keras mesti dikenakan dan jika tidak, akan ada lagi yang berani menghina maruah dan kedaulatan negara pada masa akan datang.
Maruah negara sekarang ini sudah ada yang berani merobek-robeknya.
Sebelum ini kita lihat bagaimana bendera atau jalur gemilang dihina, kemudian Yang di-Pertuan Agong dengan gambar lucah dan menghinakan, dan pelbagai lagi.
Hina al-Quran sudah, hina Nabi SAW sudah, hina agama Islam sudah berkali-kali, dan hari ini Jata Negara.
Mana perginya maruah negara?
* Haji Rashidi Haris- Ketua Media MUAFAKAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.