Sabtu, 25 Julai 2020

Guan Eng ke SPRM sambung beri keterangan projek terowong dasar laut

Lim Guan Eng tiba lewat kerana kenderaan dinaikinya rosak ketika dalam perjalanan
ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk memberi keterangan buat kali ke-2 berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu tiba pada 12.35 tengah hari tadi dengan ditemani peguamnya RSN Rayer.

“Beliau sepatutnya beri keterangan 10 pagi tadi, tetapi lewat sampai sebab kami difahamkan kenderaan dinaiki beliau ada masalah ketika dalam perjalanan,” kata seorang pegawai SPRM kepada media di sini.

Rabu lalu, Lim memberi keterangan selama 6 jam kepada SPRM sebagai saksi dalam siasatan ke atas projek terowong dasar laut.Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang dan bekas pemimpin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan ke atas projek itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan ke atas projek RM6.3 bilion itu berkaitan dakwaan pengubahan wang dan dijangka selesai dalam 2 hingga 3 minggu.

Katanya, tanggapan kes itu sudah ditutup tidak betul kerana siasatan berterusan sejak 2017.

Beliau berkata, SPRM sudah mengambil keterangan 32 orang sehingga kini dan mahu menemubual 10 hingga 15 individu lagi.

Setakat ini, seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan dan 3 syarikat diserbu dalam siasatan ke atas projek itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.