Isnin, 27 Julai 2020

‘Bara kalau jumpa bahan api akan merebak’ – Noor Hisham

Nizam Zain
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto
AFFAN FAUZI,

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan Malaysia bakal dilanda gelombang ketiga Covid-19 sekiranya rakyat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan sebanyak 120 kes dan beberapa kluster baharu baru-baru ini boleh meningkat secara mendadak sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan bersama.

“Kemungkinannya tetap ada kalau kita rakyat Malaysia tak patuh kepada SOP. Sekarang ini kalau nak mencegah, tindakan pencegahan lebih penting sekarang ini iaitu sebelum kes meningkat secara mendadak.

“Kluster-kluster baharu ini diibaratkan sebagai bara yang sedang membakar.

“Bara kalau jumpa bahan api akan merebak menjadi satu pembakaran yang besar. Jadi kes akan meningkat secara mendadak,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham juga membayangkan sekiranya kes dan kluster baharu terus meningkat, pihaknya besar kemungkinan tidak berupaya untuk merawat pesakit dalam fasiliti kesihatan sedia ada.

“Kalau kita ada 2,000 hingga 3,000 kes sehari, dalam tempoh seminggu hospital sudah sesak sudah, dan kita mungkin tiada kemampuan untuk merawat pesakit.

“Kalau kes-kes telah merebak, apa yang penting kawalan kita akan tertumpu kepada hospital sahaja,” katanya.

Katanya, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sahaja terbukti mampu memutuskan rantaian Covid-19 semasa gelombang pertama wabak itu di negara ini.

“Kalau kita boleh amalkan SOP iaitu pemakaian mask dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, kedua-dua terbukti dapat memutuskan rantaian Covid-19 antara 60 hingga 65 peratus,” katanya.

Katanya lagi, kebimbangan KKM ketika ini apabila rakyat mula tidak patuh kepada SOP pencegahan susulan peningkatan kes baharu sehingga dua angka sejak akhir ini.

“Kalau tidak patuh kepada SOP tak mustahil kita akan mendapatkan gelombang ketiga kes mendadak.

“Kalau kes meningkat lebih 1.6 peratus, kemungkinan besar kita akan dapat kes besar mendadak dan mungkin fasa gelombang ketiga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.