KUALA LUMPUR: Tujuh daripada 720 peserta konvoi motosikal di Temerloh, Pahang ditahan dan selebihnya disaman kerana menunggang secara berbahaya, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
“JSPT mengeluarkan 358 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, antaranya tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, pengubahsuaian nombor plat pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi.
“Purata kemalangan maut melibatkan motosikal antara 13 hingga 14 kes sehari di seluruh negara dan individu yang ditahan ini dikenakan tindakan tegas dan kami akan merekodkan keterangan mereka untuk bantu siasatan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Mengulas seorang individu disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung konvoi motosikal itu, Azisman berkata, pihaknya membuat laporan polis kira-kira 11.30 pagi tadi.
“Kenyataan individu berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini jelas mendatangkan kegusaran awam dan kebimbangan kepada orang lain, kenyataan lelaki dalam video terbabit adalah tidak wajar, seolah-olah memperkecilkan dan memperlekehkan tugas polis.
“Ia seolah-olah menggalakkan anak-anak muda berkonvoi, sedangkan kita harus ingat isu pandemik Covid-19 ini belum dipecahkan rantaiannya.”
Beliau berkata, polis sudah menelilti video tular itu dan JSPT sepakat membuat laporan polis terhadap individu yang membuat kenyataan itu kerana ia mampu menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat, terutamanya penunggang motosikal.
“Lagipun, polis tidak tahan mereka sesuka hati (berdasarkan kenyataan dalam video tular). Saman (terhadap konvoi di Temerloh) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.”
Katanya, dalam operasi itu, 720 individu dan 600 motosikal diperiksa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.