Jumaat, 26 Jun 2020

Sidang Kemuncak Asean ke-36 secara maya bermula esok

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, delegasi Malaysia akan diketuai
oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak Asean ke-36 buat julung kalinya diadakan secara maya apabila pemimpin Asean bersidang melalui persidangan video esok bagi membincangkan isu-isu serantau dan pasca-Covid-19.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu akan diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan menyampaikan ucapan bagi menyuarakan pendirian Malaysia kepada rakan-rakan Asean.

Sidang kemuncak itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, yang juga pengerusi Asean 2020.

“Saya akan bertemu perdana menteri untuk berkongsi pandangan berhubung perkara yang perlu dan boleh disuarakan Malaysia semasa sidang kemuncak itu nanti berdasarkan input yang diperoleh dalam siri mesyuarat saya bersama menteri luar Asean semalam,” katanya.

Dalam sidang media di sini, hari ini, Hishammuddin berkata, antara agenda utama sidang kemuncak itu adalah meneliti isu serantau dan antarabangsa, terutama pasca pandemik Covid-19.

Mesyuarat juga akan memperincikan langkah pemulihan komprehensif bagi menangani impak Covid-19, yang merupakan susulan perbincangan sewaktu Sidang Kemuncak Asean Khas mengenai Covid-19 pada April lepas, katanya.

Hishammuddin berkata, sidang kemuncak itu juga akan membincangkan mengenai proses serta keutamaan pembinaan Komuniti Asean dan pelaksanaan visi Komuniti Asean 2025.

Menurutnya, pemimpin ASEAN juga dijangka mengesahkan dokumen bertajuk “Asean Leaders’ Vision Statement on a Cohesive and Responsive Asean: Rising above Challenges and Sustaining Growth”.

Hishammuddin berkata, Muhyiddin dan pemimpin Asean juga akan mengambil bahagian dalam sesi khas pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-36 mengenai pemerkasaan wanita pada era digital.

Selain itu katanya, Muhyiddin juga akan mengadakan persidangan video dengan wakil daripada Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA), Belia Asean dan Majlis Penasihat Perniagaan Asean.

Mengenai mesyuarat bersama Menteri Luar Asean semalam, Hishammuddin berkata, pelbagai isu telah dibincangkan antaranya perihal berkaitan Laut China Selatan, perkembangan di wilayah Rakhine, Myanmar, isu Palestin, pelucutan senjata nukleur dan usaha menangani cabaran landskap dunia baru pasca pandemik Covid-19.

Berhubung cabaran mengadakan sidang kemuncak secara maya disebabkan Covid-19, Hishammuddin berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan dan menurutnya Sidang Kemuncak Asean Khas mengenai Covid-19 yang diadakan menerusi persidangan video pada April berjalan lancar.

“Dunia sedang berdepan cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini disebabkan Covid-19, bagaimanapun ia tidak menghalang Asean untuk terus berusaha bagi mencapai visi dan matlamat ditetapkannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.