HEBAT anak muda dari Johor ini apabila muncul pada sidang akhbar dengan mendakwa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pernah menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa masih dalam Timbalan Presiden UMNO “gila jawatan hendak jadi Perdana Menteri”.
Selain itu beliau yang gugur keahlian daripada Bersatu tetapi masih mengaku Ketua Armada parti tersebut berkata, ‘’Biarkan masa depan Bersatu ini ditentukan oleh akar umbi. Kalau betul kami tidak ada sokongan, biarlah kami dihukum tangan ahli akar umbi sendiri, bukan orang yang dulu UMNO dan kini masuk Bersatu.’’
Bukan sahaja hujah malah tindakan beliau mengadakan sidang akhbar itu dengan mengungkit kisah lama yang entah betul atau tidak, hanya menampakkan ‘kecacatan’ dan ketidakmatangan seni politik beliau yang baru setahun jagung dalam dunia tersebut.
Penulis tertanya-tanya apakah kehebatan pemuda bernama Syed Saddiq ini sehingga ada menteri berjumpa dan mengajak beliau untuk meninggalkan Bersatu.
Kalaulah pertemuan itu berlaku sebelum pilihan raya umum lalu, adakah ketika itu Syed Saddiq sudah cukup popular dan berpengaruh sehingga UMNO dan Barisan Nasional (BN) terpaksa menjemput beliau ke dalam parti tersebut?
Syed Saddiq hanya dikenali selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2018 setelah menang Pilihan Raya Umum pada tahun itu hasil ‘’tsunami’’ penolakan rakyat terhadap BN ketika itu.
Dalam bahasa mudahnya, sebagai individu kali pertama bertanding dan menang dalam pilihan raya, Syed Saddiq belum teruji dalam pertarungan sebenar berdasarkan kemampuan beliau bukannya menang kerana arus nasional.
Justeru tidak perlulah Syed Saddiq mahu melakukan tindakan dilihat seolah-olah setanding dengan Hamzah. Lagi pula tumpuan sidang akhbar Hamzah semalam ialah penjelasan kepada pemimpin idola Syed Saddiq, Tun Dr.Mahathir Mohamad kenapa keahlian bekas Perdana Menteri itu dan empat yang lain tergugur secara automatik.
Kalaupun Syed Saddiq mahu menjadi ‘wira’ mempertahankan Mahathir, gunalah hujah-hujah lain dan bukannya memaparkan kisah lama yang belum tentu benar.
Strategi seumpama ini sudah tidak laku lagi, kalau cerita lama mahu diungkit mungkin pemimpin-pemimpin Bersatupun ada banyak cerita pasal beliau.
Turut mencuit hati penulis apabila membaca kenyataan Syed Saddiq bahawa, ‘’biar dihukum akar umbi, bukan bekas pemimpin UMNO.’’
Adakah maksud Syed Saddiq kalau individu itu bekas pemimpin UMNO dan kemudiannya dilantik memegang satu jawatan dalam Bersatu, kemudian bertindak berdasarkan Perlembagaan parti, ia tidak boleh dilakukan?
Lupakah Syed Saddiq, Bersatu ditubuhkan oleh pemimpin UMNO?
Kesimpulannya, banyak lagi yang perlu Syed Saddiq belajar, kalau beliau betul-betul mahu menjadi ahli politik muda yang berjaya.
Kejayaan seseorang ahli politik bukan sekadar dilihat menumpang hubungan rapat dengan mana-mana pemimpin dan sudah pasti ia juga tidak bergantung kepada sekadar pandai berpidato sahaja sehingga akhirnya terkebil-kebil apabila diasak dalam wawancara orang media luar negara.
Sebaliknya, kehebatan ahli politik ialah bagaimana bijak dalam tindakan, pandai dalam strategi, ada fakta bila berhujah dan cerdik membaca arus politik. Tidak salah untuk mempertahankan prinsip dan setia kepada seseorang pemimpin.
Tetapi politik juga membuktikan, prinsip akhirnya tergadai, pembentukan kerjasama antara PKR,DAP,Amanah dan Bersatu adalah buktinya dan kesetiaan pula akan sampai masanya berubah kerana dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal.
Oleh itu pandai-pandailah Syed Saddiq melakukan percaturan supaya tidak tersemban ke dalam ‘kuali bubur lambuk’ perebutan kuasa ketika mahu ‘melompat pagar’ politik kerana beliau baru ‘setahun jagung’ dalam dunia yang bukan sekadar bijak ‘menampal plaster di muka’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.