Khamis, 25 Jun 2020

PH jadi perantara pulih hubungan Dr M, Anwar - Khalid

Pakatan Harapan (PH) sedia menjadi perantara bagi mendamaikan hubungan antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Mengakui perkembangan semasa menunjukkan hubungan 'kurang positif' antara kedua-dua tokoh itu, Khalid berkata harapan tetap ada untuk mendamaikan mereka seperti dilakukan menjelang pilihan raya umum lalu.

Ini katanya meskipun Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan akan menghentikan kerjasama dengan Anwar.

“Setakat ni, lepas kenyataan itu, memang nampak kurang positiflah, tapi tak menjadi alasan untuk kita tak meneruskan usaha kita.

“Ini bukan satu perkara yang kita boleh mengharapkan natijahnya dengan segera.

“Sepertimana pada 2018, kita telah berjaya mendamaikan di antara Tun (Mahathir) dan parti yang dipimpin oleh Anwar, insya-Allah, kita akan berjaya sekali lagi. Tapi kena berusahalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Khalid diminta mengulas kenyataan terbaru Dr Mahathir dalam wawancara bersama Sin Chew Daily untuk berhenti bekerjasama dengan Anwar.

Menurut Mahathir, keputusan itu diambil memandangkan presiden PKR itu enggan bekerjasama dengannya.

Malah, pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatan itu menyatakan kesediaan meneroka jalan lain bagi menjadi perdana menteri kali ketiga.

Perselisihan berlaku dalam PH ekoran perbezaan pendapat mengenai calon perdana menteri, sekiranya gabungan PH Plus berjaya merampas semula pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN).

PKR bertegas mahu Anwar menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah cenderung menggandingkan Mahathir dan Anwar sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri selama enam bulan, sebelum peralihan kuasa berlaku.

Meskipun pemimpin DAP dan Amanah konsisten menyatakan sokongan buat Anwar, mereka berpendapat gandingan itu merupakan jalan terbaik bagi memastikan Anggota Parlimen Port Dickson itu benar-benar dapat menjadi perdana menteri.

Kedua-dua tokoh itu mempunyai hubungan berliku dan panjang, bermula daripada pemecatan Anwar daripada timbalan perdana menteri ketika Mahathir menerajui negara pada 1998.

Mereka akhirnya berdamai bagi menjatuhkan bekas perdana menteri Najib Razak pada PRU-14, sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN buat julung-julung kalinya selepas 60 tahun mentadbir negara.

Namun, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH yang diterajui Mahathir sebagai , isu peralihan kuasa yang tidak jelas sentiasa menghambat gabungan itu dalam pertelingkahan tak berkesudahan di media.

Isu peralihan kuasa dilihat sekali menjadi batu penghalang terbesar buat PH plus mencapai kata sepakat buat masa ini.

Mengulas lanjut, kata Khalid, Amanah bersama DAP akan tetap dengan keputusan iaitu PH plus perlu dikukuhkan bagi mengambil alih semula kerajaan daripada PN.

Ketika disoal tentang keyakinannya mengenai hubungan kedua-dua pemimpin itu, Khalid memberikan bayangan bahawa yang paling penting kini adalah usaha bagi memulihkan hubungan mereka.

“Usaha kena buat,” jawabnya ringkas.

Kerajaan PH tumbang penghujung Februari lalu selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengeluarkan parti itu dari gabungan berkenaan, manakala Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis politik selama seminggu itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac dan menubuhkan gabungan kerajaan baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.