KEPALA BATAS: Pasar Bisik Kuala Muda di Penaga di sini diarah tutup 7 hari bermula 3 petang semalam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata pasar itu tidak melaksanakan penjarakan sosial, pengambilan suhu badan, kawalan keluar masuk pengunjung serta tidak menyediakan cecair pembasmi kuman.
“Pihak jabatan telah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di pasar itu sebelum ini, namun ia umpama mencurah air ke daun keladi…boleh dikatakan hampir 100% tiada amalan SOP di sini,” katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di pasar itu semalam.
Beliau berkata, semua pengusaha premis di pasar itu juga dikehendaki menjalankan operasi pembersihan dan sanitasi sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan tiada penularan Covid-19.
“Jika keesokan hari pasar ini didapati masih ingkar dan ada pencerobohan di premis, kita akan laksanakan penangkapan.”
Terdahulu, keadaan di pasar berkenaan sedikit tegang apabila rata-rata nelayan membantah tindakan penutupan oleh anggota JKNPP yang disifatkan menyekat mata pencarian mereka.
Pengerusi Unit Nelayan Pasar Bisik Kuala Muda Penaga, Ariffin Mat, 54, berkata beliau sendiri sering mengingatkan nelayan supaya mematuhi SOP Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Saya selalu ingatkan mereka mematuhi SOP, tapi memandangkan keluasan pasar ini agak terhad, maka sukar untuk pihak nelayan kawal keadaan di sini. Namun kami akur dengan arahan ini dan akan lebih berhati-hati selepas ini demi kebaikan semua.”
Penutupan pasar itu dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sementara itu, 42 orang yang melepak tanpa tujuan di pantai Seagate, Bayan Lepas di George Town kelmarin dikompaun RM1,000 seorang kerana melanggar SOP PKPB.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata mereka terdiri daripada 30 lelaki dan 12 wanita berusia 20 hingga 45 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.