Jumaat, 29 Mei 2020

‘Tunggu masa’, pengasas bersama PPBM tak terkejut keahlian Dr M gugur

PETALING JAYA: Salah seorang pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman tidak terkejut keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 lagi individu digugurkan, mengatakan beliau hanya menunggu masa bila presiden parti nak bertindak.

“Saya sebagai antara pengasas dan setiausaha agung dan setiausaha kerja PPBM yang pertama, sentiasa memerhati keadaan ini,” katanya kepada FMT.

“Saya hanya menunggu adakah Muhyiddin Yassin (presiden) berani menyingkirkan mereka yang membawa masalah dalam parti tanpa mengira siapa…tapi akhirnya keputusan itu diambil kerana PPBM kena ‘move on'”.

Kamarulazman berkata keputusan menggugurkan keahlian Mahathir dan anaknya, Mukhriz, serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah itu “tepat” dan sepatutnya sudah lama dibuat walaupun rakyat menganggap Mahathir seorang ikon.

Malah, Kamarulazman berkata ia tidak perlu dipersoal.

“Mereka tidak mahu akur dengan kepentingan parti dan mempunyai agenda yang semua sedia maklum,” katanya.

Beliau mendakwa tindak-tanduk Mahathir mendorongnya meninggalkan parti yang ditubuhkan bersama 6 pemimpin lain itu.

“Kini jelas apa yang saya katakan dulu menjadi kenyataan. Mahathir dan Mukhriz bukanlah ‘team players’. Mereka lebih bersifat individualistik dan tidak menghiraukan pandangan ramai dalam parti,” katanya.

Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee, dan Amiruddin dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Kamarulazman berkata keputusan itu selaras dengan perlembagaan PPBM.

“Mereka memilih duduk di kerusi pembangkang walaupun PPBM sebahagian daripada kerajaan. Apabila ahli tidak hormat keputusan presiden, ini menunjukkan mereka tidak sepatutnya terus ada dalam parti,” katanya.

Mengenai masa depan PPBM, Kamarulazman berkata ahli parti itu kini berada di persimpangan selepas pengguguran pemimpin utamanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jatuh bangun sesebuah parti terletak kepada kebijaksanaan presiden “merencana kebangkitan sebagai satu pasukan yang mempunyai hala tuju yang sama”, dan kesediaan menerima perubahan.

“Ahli tidak boleh bernostalgia dengan sejarah kehebatan Mahathir. Zaman beliau sudah berlalu,” katanya.

Beliau menambah presiden juga mesti tunjukkan kekuatan dalam mengemudi parti dan menyingkir kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

“Sekiranya ini tak berlaku, maka saya lihat PPBM akan melalui zaman kejatuhan seperti parti politik serpihan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Muhyiddin mempunyai kelebihan ketika ini iaitu beliau mendapat kepercayaan rakyat sebagai perdana menteri dalam mendepani wabak Covid-19.

“Sokongan wakil rakyat juga lebih terarah kepada Muhyiddin kerana lumrah ahli politik mereka sentiasa berpegang kepada tunjang kekuatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama PPBM, Anina Saadudin berkata, pengguguran Mahathir dan 4 individu lagi tidak perlu dipersoal kerana ia berpunca daripada mereka sendiri.

Katanya, mereka pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei enggan duduk di blok kerajaan dan memilih untuk bersama blok pembangkang.

“Ini bermakna Mahathir mengkhianati parti sendiri,” katanya.

“Jangan lupa Mahathir menumbangkan kerajaannya sendiri 3 bulan lalu dengan meletakkan jawatan walaupun puas dipujuk Agong.”

Anina bagaimanapun masih menghormati Mahathir sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

“Saya mohon pemimpin hari ini jadikan sejarah sebagai pedoman hidup, bukan menghukum Mahathir tanpa melihat diri sendiri di cermin,” katanya.

Kamarulazman dan Anina, bersama Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi merupakan 7 pengasas dan penaja PPBM.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.