Sabtu, 30 Mei 2020

Tun M, 4 ahli parlimen tak dipecat tapi terlucut keahlian

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF29052020_SIDANG-MEDIA-PPBM_16-681x454
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menunjukkan buku perlembagaan PPBM pada sidang media PPBM di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dipecat sebaliknya keahlian mereka terlucut dengan sendiri kerana melanggar perlembagaan parti.

Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memberitahu, ia adalah berlandaskan perlembagaan kerana kepentingan parti adalah lebih
utama dari mana-mana individu.

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Hamzah, banyak aduan diterima mengenai salah laku kelima-lima mereka antara lainnya iaitu pengumuman  Mahathir untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dibawah kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara lain katanya, Mahathir pada 4 Mei lalu telah membuat kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti PH mendesak supaya sidang Parlimen dilanjutkan selain mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang telah dilantik secara sah oleh Yang diPertuan Agong.

“Tun Dr. Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam hal ini, Tan Sri Megat Najimuddin sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin telah memaklumkan kepada saya sebagai Setiausaha Agung bahawa perkara di atas tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3,” ujarnya.

Menurut Hamzah lagi, keputusan untuk keluar dari PH telah pun diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bertarikh 23 Februari, yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri.

Tambah beliau, pengumuman keputusan MPT telah diumumkan oleh Presiden, sebagai Pemangku Pengerusi pada 24 Februari selepas Mahathir meletakkan jawatannya pada hari yang sama.

“Sebagai Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun memberhentikan YB Senator Datuk Marzuki Yahya melalui notis yang bertarikh 18 Mac berkuatkuasa serta-merta.

“Selanjutnya pada 26 Mac, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik saya sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya.

“Dengan perlantikan ini, semua arahan atau kenyataan yang dikeluarkan YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tidak sah serta merupakan satu salah guna kedudukan,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan agar semua ahli Bersatu merapatkan saf dan menyokong serta mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu merangkap pemangku Pengerusi serta Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

Katanya, beliau yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh Muhyddin mampu untuk digunakan bagi menangani isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi negara terutamanya dalamsektor ekonomi dan politik, khususnya ketika krisis penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.