Khamis, 28 Mei 2020

Tarikh pembukaan kedai gunting rambut bakal diketahui

MalaysiaGazette
MGF01012019_HUMAN-INTEREST01-681x454
Garis panduan yang dicadangkan tujuh persatuan gunting dan dandanan rambut telah dipersetujui wakil kerajaan, tetapi ia perlu diteliti lebih lanjut.

PETALING JAYA – Jawapan mengenai pembukaan semula kedai gunting rambut dan dandanan rambut akan diketahui dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Dandanan Rambut (MHA), Michael Poh berkata, MHA dan enam lagi persatuan berkaitan telah bertemu dengan pihak berkuasa pada Khamis lalu untuk berbincang tentang prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi jika kedai gunting rambut dibuka semula.

Katanya, pertemuan itu berjalan dengan lancar dan kerajaan dijangka mengumumkan tarikh pembukaan semula kedai gunting rambut selepas perayaan Aidilfitri.

“Mesyuarat diadakan selama dua jam dan diawali dengan pembentangan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

“Wakil-wakil persatuan kemudian turut membentangkan garis panduan yang telah dicadangkan oleh pengusaha,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, garis panduan yang dicadangkan tujuh persatuan gunting dan dandanan rambut telah dipersetujui wakil kerajaan, tetapi ia perlu diteliti lebih lanjut.

“SOP yang disediakan pihak kerajaan sebenarnya selari dengan SOP yang dicadangkan wakil pengusaha, cuma ada satu atau dua kelainan sahaja,” katanya.

Difahamkan, mesyuarat itu telah dihadiri wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Michael berkata, wakil pengusaha telah menyampaikan harapan kepada kerajaan supaya kedai gunting rambut dapat dibuka secepat mungkin.

Menurutnya, adalah lebih baik membenarkan kedai gunting rambut dibuka dan membolehkan pelanggan dijejaki jika berlaku kes jangkitan, daripada menyebabkan orang ramai melanggar undang-undang dengan mengajak tukang gunting rambut ke rumah.

“Gunting rambut bukanlah diletak dalam perkhidmatan keperluan asas dan tidak ada masalah jika rambut tidak digunting selama dua bulan.

” Walau bagaimanapun, kaum Adam mungkin akan berasa rimas jika rambut mereka tidak digunting selama tiga bulan,” katanya.
 
Dalam pada itu, Michael menyeru supaya pengusaha mematuhi secara ketat SOP yang ditetapkan kerana pelanggan juga akan memerhati dan memilih kedai yang dapat menjamin kesihatan mereka. – MalaysiaGazette
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.