Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat pemecatan terhadap Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain, kata Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya.
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata perlembagaan Bersatu memberikan kuasa sedemikian kepada setiausaha agung, sedangkan setiausaha kerja tidak diiktiraf dalam perlembagaan parti.
"Orang yang mengeluarkan surat itu harus dipecat dan kandungan surat itu sama sekali tidak ada asas. Tun dan yang lain masih sah sebagai ahli,”katanya.
Marzuki berkata beliau masih merupakan setiausaha agung parti itu dan urusan berkaitan keahlian berada di bawah bidang kuasanya.
Tambahnya, pemecatan anggota juga sepatutnya dirujuk kepada lembaga disiplin dan Majlis Tertinggi parti terlebih dahulu, namun perkara itu tidak dilakukan.
Untuk rekod, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan dirinya sebagai pemangku pengerusi parti dan kemudian menyingkirkan Marzuki sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu.
Mahathir mendakwa pemecatan Marzuki tidak sah dan masih mengiktirafnya sebagai setiausaha agung, manakala Muhyiddin melantik Hamzah Zainudin bagi jawatan itu.
Marzuki mengulas surat pemecatan yang dikeluarkan hari ini kepada Mahathir, anaknya Mukhriz; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Mereka dipecat kerana didakwa duduk di "blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional" semasa persidangan parlimen 18 Mei.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan pejabat Mahathir mengatakan pemecatan itu tidak dilakukan sesuai dengan konvensyen parti.
“Parti itu tidak mengikuti konvensyen untuk meminta tertuduh membela diri di hadapan lembaga disiplin.
"Sebenarnya, tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi untuk membincangkan hal ini," kata sumber berkenaan.
Laporan tambahan oleh Hariz Mohd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.