Pertubuhan Kesihatan Dunia mengingatkan negara yang menyaksikan penurunan kes Covid-19 masih boleh berdepan "puncak kedua segera" jika melonggarkan langkah membendung penularan terlalu awal.
Menurut Reuters, ketua program kecemasan WHO Dr Mike Ryan, dunia masih di tengah-tengah gelombang pertama Covid-19 dan wabak biasanya datang dalam beberapa gelombang.
Katanya, ini bermakna penularan boleh kembali berlaku dalam masa beberapa bulan akan datang di tempat yang menyaksikan gelombang pertama sudah reda.
"Ketika kita bercakap tentang gelombang kedua, biasanya kita bermaksud ada gelombang pertama wabak dan ia akan kembali beberapa bulan selepas itu. Ia mungkin realiti untuk banyak negara dalam bulan-bulan mendatang.
"Tetapi kita juga perlu sedar bahawa wabak boleh meningkat pada bila-bila masa. Kita tidak boleh mengagak hanya kerana wabak dalam penurunan pada masa ini, ia akan terus menurun, dan kita ada beberapa bulan untuk bersedia dalam menghadapi gelombang kedua. Kita mungkin akan melihat puncak kedua dalam gelombang ini," katanya seperti dipetik.
Katanya lagi, negara-negara Eropah dan Amerika Utara perlu terus melakukan langkah-langkah kesihatan dan sosial awam, pemantauan, pemeriksaan, dan strategi menyeluruh untuk memastikan trend menurun penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.